Amelina

Penyanyi yang berasal dari Labu, Negeri Sembilan itu membuat pengumuman rasmi di ibu pejabat pengurusan artis Wake The Baby, milik komposer Ajai di sini.

“Bagi peluang kepada saya sekali lagi,” itulah kenyataan ringkas penyanyi yang berusia 40 tahun ini di hadapan beberapa wartawan yang hadir dalam pertemuan tertutup tersebut.

Kata Amelina, dia kini sudah bersedia untuk tampil dalam persembahan dan acara hiburan tetapi memerlukan sedikit masa lagi untuk menggilap suaranya.

Sepanjang 15 tahun menghilangkan diri, dia tidak pernah sekalipun membuat persembahan.

“Sebenarnya niat untuk kembali menyanyi sudah lama, tetapi saya masih ragu-ragu dengan pe­nerimaan peminat dan media. Pertemuan kali ini sedikit-sebanyak memberi keyakinan dan nyata media masih memberi sokongan kepada saya.

“Mungkin kemunculan kembali ini agak terlewat dan era sekarang juga berbeza tetapi saya ya­kin boleh mencari rezeki mela­lui seni suara yang pernah menaik­kan nama sebelum ini,’’katanya.

Kali terakhir Amelina melahirkan album pada 1998 berjudul Rindu dan kemudian terus men­yepi diri setelah mendirikan rumahtangga dan dikurniakan enam cahaya mata.

Anak sulung yang berusia 13 tahun bernama Puteri Nur Athirah Reduan; Putera Al’ Affiq, 12; Putera Al’ Asyraff, 11; Puteri Nur Asyurah, 9; Putera Al ‘Arffa, 7, dan Putera Al’ Amzar, 5.

Ditanya tentang status terkini, Amelina enggan mengulas lanjut kerana mahu semua pihak memberi tumpuan kepada kemunculan semula dirinya.

“Harap semua pihak faham dan menghormati urusan periba­di saya termasuk dalam soal rumah tangga,” katanya.