Dicipta oleh komposer DJ Fuzz dan liriknya ditulis duo Viral, lagu berkenaan sengaja dirakamkan bagi tujuan menceritakan pengalaman yang ditempuhi kedua-dua mempelai itu tatkala sedang bercinta sehinggalah ke jenjang pelamin.

“Lagu edaran Life Records ini dilancarkan serentak pada hari ini bersempena majlis pernikahan kami berdua, sesuai dengan temanya dan akan dihantar ke radio untuk dimainkan dalam masa terdekat.

“Bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi sekadar berkongsi rasa dengan peminat yang sentiasa menyokong karier kami selama ini,” kata Amar sejurus upacara akad nikah yang berlangsung di Hotel Premiera Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Terdahulu, hanya dengan sekali lafaz, Amar dan Amyra bergelar suami isteri dengan wang hantaran berjumlah RM50,000 termasuk lima dulang hantaran berbalas tujuh.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa Amyra iaitu Rosli Awang serta disempurnakan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk, Ustaz Hazman Hashim.

Menurut Amar, keluarganya menghantar rombongan merisik pada September 2015 sebelum mengikat tali pertunangan pada 22 Julai 2016.

“Hubungan kami mulai rapat setelah berlakon bersama dalam produksi drama Suamiku Encik Sotong. Sejak itu, saya banyak menghabiskan masa dengan Amyra dan keluarganya,” ujarnya.

Dalam majlis pernikahan tersebut, Amar dan Amyra sedondon menggayakan busana tradisional rekaan Rizman Ruzaini berona putih bersih.