MULA mencipta nama sebagai salah seorang pelakon yang menjadi buruan penerbit dan pengarah, Alif Satar, 28, bersyukur kerana pembabitannya dalam dunia lakonan diterima baik oleh peminat drama Melayu tempatan.

Bakal terbang ke Jepun bagi menjalani penggambaran siri Pengantin Musim Salju dengan gandingan serasinya di layar kaca, Siti Nordiana, Alif berharap drama tersebut juga mendapat sambutan positif sama seperti Dia Semanis Honey.

Mengulas lanjut tentang pasangannya dalam setiap produksi yang dibintangi, Alif menjelaskan, dia tidak mempunyai masalah untuk bergandingan dengan sesiapa jua asalkan heroin tersebut dapat memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Sebagai seorang pelakon terutama yang digandingkan selaku hero dan heroin, perlu ada kerjasama yang mantap untuk memastikan kualiti persembahan yang mendukung plot cerita.

“Sebab itulah kedua-dua pihak harus bijak berkomunikasi dan berinteraksi untuk mewujudkan keserasian yang optimum. Ini merupakan kerja berpasukan, bukannya seorang diri.

“Jadi, kita kena saling bantu membantu untuk meningkatkan mutu lakonan agar mampu memberi impak kepada audiens yang menonton,” katanya kepada Mega HITS.

Beristerikan suri rumah sepenuh masa, Shadila Halid, 34, dan bapa kepada dua puteri iaitu Alisha Anugerah, 3, dan Ariana Mecca, 1, kesibukan Alif selaku anak seni tidak sedikitpun menghalangnya untuk menumpukan perhatian terhadap keluarga.

“Isteri saya adalah pengkritik utama dalam bidang lakonan dan saya suka caranya memberi pandangan. Setiap kata-kata yang diluahkan masuk akal dan saya akan cuba praktikkan.

“Jika usulnya tak menjadi, kami berbincang semula dan tampil dengan cetusan idea baharu untuk diguna pakai dalam mempertingkatkan kemahiran lakonan saya,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut memberitahu bahawa isterinya adalah seorang wanita yang amat memahami kerjaya seninya sebagai seorang pelakon dan tidak pernah meletakkan syarat tertentu untuk berdampingan dengan sesiapa sahaja dalam dunia lakonan.

Oleh sebab itu, Alif berjanji yang dia tidak akan mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan wanita itu dalam meneruskan karier lakonannya di samping berikrar untuk taat setia.

“Kepercayaan adalah rukun terpenting dalam kehidupan berumah tangga jadi saya tahu tugas saya adalah mencari rezeki untuk keluarga.

“Dia juga sanggup untuk meninggalkan kerjayanya demi keluarga. Oleh kerana itu, saya harus membalas pengorbanannya dengan berusaha gigih mencari nafkah,” ujarnya.