Baik dalam arus media tempatan mahupun di alam maya, Aleza dilihat agak kebelakang dalam soal publisiti meskipun lakonannya menjadi perbualan ramai.

Memegang erat prinsip lebih senang bersederhana, Aleza juga mengakui memilih untuk tidak menguar-uarkan tentang perihal dirinya kepada umum.

“Sejak saya mula menjadi pelakon sepenuh masa sekitar 1999 hingga sekarang, saya tidak selesa untuk ditemubual pihak wartawan meskipun untuk tujuan mempromosikan projek drama lakonan saya.

“Entahlah, saya tak boleh. Kalau berlaku juga (temubual), pasti saya akan menjadi panik dan berpeluh sekitar wajah dengan tidak semena-mena. Gemuruh sangat gayanya.

“Dan tolong jangan dipersoalkan mengapa saya sebegitu kerana itulah realitinya. Sebab itu juga, saya tidak pernah berkecil hati andai ada peminat hanya memanggil saya menerusi karektor yang saya bawa tanpa tidak mengingati nama saya,” kata Aleza membuka bicara.

Berkongsi cerita menurut Aleza, dia sebenarnya masih terkesan dengan tindakannya sebelum ini yang tidak berterus terang kepada arwah bapanya, Shadan Bujang tentang minatnya dalam bidang lakonan.

Keinginan yang mendalam untuk bergelar pelakon juga menyebabkan Aleza sanggup berpakat dengan ibu, Ainon Boltak, 64, agar merahsiakan pekerjaannya itu daripada pengetahuan arwah bapanya.

Bagaimanapun rahsia itu hanya bertahan beberapa ketika sebelum akhirnya terbongkar. Nyata arwah bapa tidak dapat mengawal perasaan marahnya selepas mendapat tahu Aleza mahu keluar negara bagi menjayakan sebuah drama.

Ini kerana arwah bapanya sudah memberi amaran kepada Aleza untuk tidak terlibat dalam dunia lakonan yang disifatkannya penuh pancaroba.

"Arwah bapa adalah seorang yang sangat tegas. Sebagai seorang penyelia estet, setiap arahannya perlu dipatuhi. Kami sekeluarga juga tidak terkecuali.

“Masa dulu, ibu bapa kita mempunyai pandangan tersendiri tentang kehidupan pelakon. Cara pemikiran mereka juga tak terbuka seperti ibu bapa zaman sekarang.

“Sebab itu, arwah bapa tidak mahu saya jadi pelakon. Dia takut kalau-kalau saya lupa diri atau terlibat dalam kancah tidak bermoral serta memalukan nama keluarga.

“Atas alasan itu, saya terpaksa berlakon secara sembunyi-sembunyi sebab takut arwah bapa marah. Tapi lama-kelamaan, dia tahu juga,” cerita Aleza.

Ironinya daripada kejadian itu, hubungan mereka menjadi agak dingin. Aleza sekali lagi berdepan dengan dilema sedangkan pada masa yang sama dia menerima banyak tawaran berlakon.

Bagaimanapun keadaan tegang antara Aleza dan arwah bapanya itu tidak lama. Lelaki itu akhirnya menerima profesion yang diminati anaknya itu dengan syarat Aleza perlu pandai menjaga diri.

Anak kedua daripada empat beradik ini juga perlu mengelak daripada terbabit dengan kontroversi supaya tidak menjejaskan nama baik keluarga.

“Saya terima syarat arwah bapa sebab waktu itu bayaran bekerja sebagai pelakon tambahan sangat lumayan jika dibandingkan bekerja di pejabat.

“Saya pernah mendapat bayaran sebanyak RM500 hanya untuk watak tambahan dalam filem Tragedi Oktober terbitan Skop Productions Sdn. Bhd. sekitar 1996.

“Bayaran itu sudah separuh daripada gaji bulanan saya sebagai kerani yang diterima ketika itu sekitar RM1,500.

"Keadaan itu saya perjelaskan kepada arwah bapa. Memang arwah bapa menentang pada peringkat awal.

"Tapi lama-kelamaan, arwah bapa mengalah dan merestui pekerjaan saya itu,” ujarnya yang juga pernah menjadi peragawati satu ketika dulu.

Aleza juga pernah bekerja secara sambilan di sebuah premis rangkaian makanan segera dan setiausaha di sebuah bank selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kesayangan

TINDAKAN arwah bapa yang menghalang Aleza menjadi pelakon itu sebenarnya berkait rapat dengan rasa kecewa yang dizahirkan apabila satu-satunya anak perempuan dalam keluarga itu tidak mendengar nasihatnya.

Sudah pastilah arwah bapa hampa kerana Aleza sanggup berbohong dengannya sedangkan hubungan kedua-dua beranak itu sangat rapat. Aleza merupakan satu-satunya pengarang jantung arwah bapa yang menjadi teman penghibur.

“Semasa kecil saya menjadi rebutan arwah datuk nenek yang mahu cucu pertama dan kedua tinggal bersama-sama mereka di Sungai Buaya, Rawang, Selangor.

“Tapi selepas arwah datuk meninggal dunia ketika saya berusia 15 tahun, barulah saya berpeluang untuk kembali tinggal sebumbung dengan arwah bapa.

“Oleh sebab itulah hubungan saya dengan arwah bapa sangat rapat. Ke mana saja kami berdua. Seringkali juga permintaan saya dituruti oleh arwah bapa. Pendek kata, saya memang anak kesayangannya,” kata Aleza mengenangkan hubungan dengan arwah bapa sebelum lelaki kesayangannya itu dijemput Ilahi ketika dia berusia 25 tahun.

Aleza turut berasa ralat apabila dia tidak dapat menunaikan impian arwah bapanya yang mahu dia menggunakan sepenuhnya kelayakan dalam bidang perniagaan sebagai kerjaya sementelah dia mengikuti pengajian dalam bidang perniagaan di sebuah kolej di ibu kota.

“Sebenarnya saya sendiri tidak sangka boleh jadi pelakon,” ujar Aleza.

Cabaran

PADA saat mencipta nama sebagai pelakon, Aleza memutuskan untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya pada pertengahan 2000.

Menerusi perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak perempuan, Nur Elisa Aziqah, 14, dan Nur Eliyana Azia, 9.

“Sebaik saja disahkan mengandung, saya tidak bekerja kerana selalunya fizikal saya berubah. Berat badan naik dan saya tak selesa bekerja.

“Lama juga saya berehat sebelum kembali semula ke dunia lakonan selepas melahirkan anak.

"Proses untuk menyesuaikan diri dengan budaya kerja juga memakan masa yang agak lama. Maklumlah, lain syarikat produksi, lain kerenahnya.

“Apapun saya bersyukur kerana masih mendapat peluang berlakon sampai hari ini,” katanya yang turut berlakon dalam drama Awak Sangat Nakal yang ditayangkan bermula esok.

Mengulas tentang perbezaan budaya kerja pelakon dahulu dengan sekarang, Aleza mengakui rata-rata pelakon seangkatannya ‘dibesarkan’ dengan budaya kerja yang kasar.

Pun begitu, Aleza tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai satu bebanan sebaliknya cabaran besar buat dirinya dalam memastikan kualiti lakonannya benar-benar berkesan.

“Saya berlakon bukan untuk mengejar glamor. Semuanya kerana minat yang mendalam.

"Saya tidak kisah kalau orang kata saya tak popular kerana niat saya hanya mahu bekerja semata-mata,” ujarnya lagi.