Walaupun tanpa kehadiran pemain bass, Endra atas faktor kesihatan, Rizal (vokalis), Radha, Mai dan Andit memberitahu, bagi kerja rakaman atau dalam studio, Endra tidak dicicirkan.

"Dalam lima ke enam tahun kebelakang ini, Endra tidak dapat untuk sama-sama ikut Armada kerana penyakit radang selaput otak yang dihidapinya.

"Memandangkan kondisi kesihatan Endra, dia dinasihatkan oleh doktor untuk elak daripada letih dan penat," kata Rizal dalam sesi soal jawab bersama wartawan dan media, hari ini.

Album terbaharu yakni kelima Armada, Maju Terus Pantang Mundur dilancarkan di Indonesia pada Julai tahun lepas dan mendapat sambutan amat baik kerana album tersebut paling laris jualannya.

Kini giliran Malaysia pula, ujar Rizal untuk pelancaran album secara rasmi bersama MTV Karaoke dan berharap bukan sahaja mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat Armada di sini tetapi juga tampil sebagai album artis berkumpulan dari Indonesia yang paling laris jualannya.

Kata Rizal, sejak melahirkan album pertama dan lagu berjudul Asal Kau Bahagia 'meletup', Armada sentiasa memikirkan nilai tambah dalam penghasilan lagu mereka.

Armada melalui fasa eksperimentasi dan berani melakukan sesuatu yang berbeza seperti menjadi sebuah kumpulan yang menggunakan konsep orkestra dalam lagu walaupun lagu- lagu dalam Armada cenderung ke arah pop dan balada.

Armada juga menjadi satu-satunya artis berkumpulan Indonesia yang menggabungkan elemen raggae dan semi dangdut dalam muzik mereka.

Cuma kata Rizal, perjalanan eksperimentasi itu bagi Armada menggunakan peralatan talian atau strings haruslah selari dengan peredaran zaman.

"Penghasilan karya Armada mengikut selera peminat tetapi mengikut cara kami," jelas Rizal.

Tanggal 17 Mac adalah detik yang didambakan oleh peminat yang menggelar artis kesayangan mereka ini dengan panggilan Pasukan Armada, beraksi dalam satu persembahan berskala besar di Kuala Lumpur.

Konsert Era & Empire Live Armada Asal Kau Bahagia yang bakal diadakan di KL Live @ Live Centre membuatkan lutut Rizal dan rakan-rakannya, menggeletar.

Maklumlah, selepas 10 tahun Armada mengukuhkan kedudukannya di negara kelahiran mereka, inilah kali pertama Armada mengadakan konsert di Malaysia.

"Saya akui lutut saya menggeletar apabila memikirkan acara konsert ulung di Malaysia kelak kerana tidak mahu penampilan atau persembahan Armada mengecewakan.

"Insya-Allah, konsert Armada sukses dengan sokongan para peminat di Malaysia, peminat Indonesia yang berada di Malaysia dan dari negara jiran yang lain," katanya.

Impian Armada sekiranya konsert sulung mereka berjaya dan mendapat sambutan yang amat memberangsangkan, mereka mahu menjayakan jerayawara seluruh Malaysia. - UTUSAN ONLINE