Merupakan pementasan kali kedua selepas mencipta kejayaan pada tahun lepas, Aladdin Reloaded kembali memberikan persembahan bertenaga mereka dengan beberapa penambahan baru seiring dengan misi untuk memberi pengalaman yang lebih menarik buat penonton dan peminat setia teater ini.

Dipentaskan di PJ Live Arts, Jaya One, Kuala Lumpur, teater ini begitu istimewa kerana penekanan formulanya terletak pada elemen interaktif yang tidak terdapat dalam mana-mana pementasan teater lain.

Mendapat sentuhan kreatif daripada pengarah hebat, Joanna Bessey, Aladdin Reloaded diolah dengan skrip serta jenaka dan gaya pementasan yang amat menarik dan semestinya mencuit hati.

Boleh dikatakan, seisi dewan tidak mampu menahan ketawa masing-masing kerana setiap plot penceritaan yang disediakan tidak pernah gagal dengan barisan jenakanya yang sarat.

Harus diingatkan, ia bukan sebuah jalan penceritaan yang klise sebagaimana yang pernah atau biasa kita tonton dalam kebanyakan pementasan teater Aladdin yang dipersembahkan sebelum ini.

Ini adalah naskhah yang ‘gila’ kerana suntikannya adalah berbeza daripada cerita dongeng yang pernah kita tahu sejak zaman kanak-kanak meski inti patinya masih serupa.

Jayson Phuah yang memegang watak Aladdin dilihat berjaya membawakan watak itu dengan baik dan mampu menjadi ‘pemanis mata’ lantaran Aladdin dalam versi Enfiniti ini, boleh tahan tampan juga.

Namun, tidak dinafikan, sebenarnya, tumpuan berjaya dicuri oleh pemegang watak Widow Twanky, Rashid Salleh yang berperanan sebagai ibu tiri kepada Aladdin dan penggoda ahli sihir bernama Abanaza yang dilakonkan oleh Peter Davis.

Setiap kali muncul di pentas, Rashid tidak pernah gagal menarik perhatian penonton menerusi aksi bersahaja yang begitu mencuit hati apalagi menerusi barisan dialognya yang padu.

Sebagaimana tahun lepas, Rashid berupaya menyinar dalam watak itu namun tidak pula menenggelamkan watak-watak lain yang boleh dipuji, sama menarik dan hebat dalam pementasan ini.

Selain Widow Twanky, watak Genie in The Ring yang dibawakan oleh Tria Aziz juga berjaya mencuri tumpuan ramai menerusi keletahnya yang ligat dan lincah di pentas sekali gus merupakan watak yang paling dinanti-nanti oleh peminat cilik yang ternyata suka dengan jenaka dan karektor Genie.

Tidak dinafikan, selain kanak-kanak, golongan ibu bapa juga sebenarnya turut terhibur dengan pementasan teater ini memandangkan ada antara selingan jenaka yang dipentaskan menggunapakai jenaka dewasa.

Ternyata, misi Joanna untuk menghiburkan seisi keluarga berjaya dicapai sehinggakan tiada seorang pun yang keluar dari pintu dewan merungut pementasan Aladdin Reloaded tidak menyeronokkan dan sebagainya.

Diklasifikasikan sebagai antara yang terbaik, pementasan kali ini ternyata punya kelas tersendiri dan ia tidak cuma sekadar sebuah pementasan sendal cuti persekolahan anak-anak.