Kesilapan memahami istilah-istilah khusus tersebut boleh menyebabkan berlakunya kekeliruan dan kadang-kadang tohmahan yang tidak wajar kepada ilmu penting ini yang datang daripada rahim peradaban Islam.

Perbincangan ini dimulai dengan memperkenal dua istilah utama, al-mujahadat dan al-madhaqat yang merupakan pengikat kepada suatu rangkuman keseluruhan terhadap apa yang perlu ditekuni, dialami dan dihayati sepanjang perjalanan kehidupan seseorang sufi.

Dalam konteks ini, kehidupan seseorang yang terbabit dalam dunia kesufian terbahagi kepada dua bahagian atau bentuk:

1. Kehidupan mujahadah (hayat al-Mujahadah).

2.Kehidupan mushahadah (hayat al-Mushahadah).

Justeru, dalam keseluruhan perjalanan kehidupan, golongan sufi membezakan antara bentuk kehidupan yang melibatkan usaha gigih dan kerja keras kezuhudan, riyadat dan ibadat pada satu pihak dengan bentuk kehidupan yang dihayati bersama pencapaian pelbagai pengalaman kasyaf pelbagai makna, asrar, petanda serta mawajid yang juga dikenali sebagai pencapaian pelbagai al-Madhaqat.

Dua bahagian atau bentuk kehidupan ini, secara mudahnya boleh diungkapkan sebagai peringkat wasilah pada satu pihak, dan peringkat matlamat pada pihak yang lain.

Oleh itu, al-Mujahadat dan al-Madhaqat merupakan dua bentuk kehidupan berbeza yang perlu ditempuh secara gigih, dialami dan dihayati oleh seseorang yang berjaya dalam kehidupan kesufian.

Kedua-dua bentuk kehidupan inilah yang mendefinisikan dan menjadi isi kandungan kepada keseluruhan penghayatan ilmu tasawuf. Justeru, dalam lain perkataan, keseluruhan kehidupan bertasawuf adalah perkara-perkara yang terangkum dalam dua istilah utama ini: al-Mujahadat dan al-Madhaqat.

PENGORBANAN DEKATI ALLAH

Dalam tulisan ini, fokus akan diberikan terlebih dahulu kepada aspek al-Mujahadat dan selepas itu barulah beralih kepada al-Madhaqat.

Al-Mujahadat adalah kata jamak kepada al-mujahadah dan dalam keadaan asalnya adalah sama dengan istilah al-Jihad, iaitu pengorbanan segala sesuatu demi kerana Allah SWT serta memerangi musuh-Nya.

Namun al-Mujahadah dalam penggunaan ilmu tasawuf dirujuk secara khusus kepada peperangan terhadap nafsu dan penghindaran daripada segala tuntutannya berasaskan keyakinan bahawa ia merupakan musuh utama yang berfungsi sebagai agen menjerumuskan manusia ke arah kehancuran dan menjauhkan mereka daripada tuntutan-tuntutan agama.

Oleh itu, al-Mujahadah dalam konteks ilmu tasawuf merupakan suatu bentuk pengalaman kemanusiaan manusia dalam usaha gigih memerangi nafsu.

Nafsu bagi istilah kesufian merujuk kepada diri kehaiwanan manusia yang merupakan pusat kepada syahwat dan al-hawa serta tempat terbitnya segala bentuk kejahatan dan dosa dalam diri manusia. Menurut analisis dan pengalaman golongan sufi, syahwat dan al-hawa adalah tabiat buruk yang terdapat dalam nafsu manusia.

Syahwat:

* Merujuk kepada tuntutan untuk mendapatkan kelazatan.

* Ia muncul pada setiap sudut badan manusia yang sentiasa cuba merealisasikan pelbagai tujuannya dan pancaindera manusia ditagih untuk memberikan khidmat merealisasikan tuntutan tersebut.

* Tanpa mengira halal haram dan betul salahnya, syahwat perut adalah makan dan minum, syahwat lidah adalah bercakap, syahwat mulut merasa (mengecap), syahwat tubuh bersentuhan, syahwat akal berfikir dan begitulah seterusnya.

Al-Hawa:

* Merujuk kepada kecenderungan tabii yang menguasai nafsu dan segala perbuatannya dalam kerangka merealisasikan kegemaran nafsu tersebut.

* Bertentangan dengan akal murni manusia. Pada asasnya, diri manusia bagaikan medan tempur antara akal murni dan al-hawa

* Perbuatan manusia yang muncul daripada al-hawa dan direstui pula oleh nafsunya adalah berada jauh daripada Allah SWT dan dekat dengan syaitan.

* Perangai syaitan adalah aspek kehaiwanan diri manusia dan sebab itulah golongan sufi sentiasa berusaha sungguh-sungguh untuk melepaskan diri daripadanya.

Kejahatan dan dosa yang berpusat pada nafsu pada umumnya, terbahagi kepada dua iaitu pelbagai perlakuan maksiat; dan akhlak buruk serta sifat-sifat keji, seumpama ujub, hasad, marah, takbur, riyak dan lain-lain bentuk akhlak buruk yang pada keseluruhannya ditolak oleh syarak serta akal murni.

Kepakaran dan pengetahuan mendalam manusia mengenai nafsu diri mereka bersama dengan segala sesuatu yang berkaitan dengannya adalah amat penting untuk menjamin kejayaan usaha mujahadah yang mereka jalani.

Dan sesungguhnya aspek-aspek ini merupakan satu psikologi rohaniah yang amat mendalam dan penting dalam disiplin ilmu tasawuf.