Hari ini, dia mampu menarik nafas lega kerana kesungguhan dan kesabaran yang dipupuk selama ini mula membuahkan hasil.

Bagaimanapun menurut Nabila, 27. apa yang dikecapi sekarang bukan semudah yang disangka. Ujian dan dugaan tidak pernah surut biarpun namanya sudah berada di baris hadapan.

Setelah mencetuskan fenomena luar biasa menerusi gimik percintaan dalam muzik video Pematah Hati sebelum ini, gerak-geri dan tindak tanduk Nabila mula menimbulkan was-was dalam hati peminatnya.

Malah tindakannya memadam hampir 3,000 keping gambar dalam laman Instagram miliknya juga dikatakan gimik oleh segelintir pihak biarpun telah jelas diterangkan oleh Nabila bahawa ia hanya bertujuan promosi.

“Saya tidak berniat menipu peminat, namun saya akur jika mereka melabel saya sebagai ratu gimik.

“Setiap artis ada cara kerja tersendiri. Sejujurnya saya tidak menyangka pelan yang diatur untuk lagu Pematah Hati bertukar menjadi gimik dan tular. Ada yang bersetuju dengan strategi tersebut kerana dianggap sebagai satu idea yang bijak, tapi tetap ada yang mengeji.

“Itu pendapat masing-masing, sama seperti single baharu saya, Vroom Vroom. Ada yang kata wujud elemen gimik sebelum ia dilancarkan, tapi sebenarnya itu bukan gimik tapi strategi kami untuk berikan kejutan buat peminat.

“Tiada apa yang boleh saya halang, cuma saya rasa perkara seperti ini patut diterima dengan hati terbuka kerana ia bukan hal baharu dalam industri,” jelas Nabila.

Bercerita lanjut mengenai single tersebut, Nabila berasa sedikit tertekan dalam memberikan yang terbaik untuk muzik video lagu terbabit.

“Bohonglah kalau tak ada rasa tertekan. Saya cuba sedaya upaya untuk menjadikan lagu dan muzik video kali ini lebih baik daripada Pematah Hati kerana lagu tersebut pernah meraih populariti yang tidak terduga sebelum ini.

“Saya akan sentiasa melakukan yang terbaik supaya kerja yang dihasilkan tidak sia-sia. Kalau single baharu ini kurang mendapat sambutan, saya okay sahaja sebab itulah yang akan memberi semangat pada masa hadapan.

“Cabaran ini akan menjadikan saya lebih kuat dan tidak akan berhenti daripada terus menyusun strategi baharu,” jelas Nabila.

Positif

Bukan mudah membina karier seni lebih-lebih lagi dalam zaman media sosial. Warganet hanya bersenjatakan papan kekunci untuk menghentam sesiapa sahaja, malah ada ketikanya kecaman itu boleh menjatuhkan semangat.

Pernah dikritik hebat kerana memiliki suara unik sehingga ada yang menggelarkannya penyanyi bersuara chipmunk, namun graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan ini sentiasa positif.

“Kita manusia, ada kalanya terasa juga. Sedih tapi bila fikir semula, sampai bila? Saya ambil kecaman ini sebagai titik mula kebangkitan selain berusaha memperbaiki setiap kekurangan.

“Bila dicemuh begini, tidak mungkin saya akan berdiam diri. Saya takkan biarkan kelemahan itu berterusan. Oleh itu, saya akan terus menghadiri kelas vokal untuk memperbaiki mutu nyanyian.

Menurut Nabila, dia tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak, namun sedaya upaya cuba memberikan yang terbaik untuk semua.

“Saya tidak meletakkan mana-mana artis untuk dijadikan saingan kerana sedar tahap kemampuan setiap penyanyi sangat berbeza dan ia hanya menjatuhkan moral.

“Perbandingan yang saya buat adalah antara diri saya dahulu dengan sekarang. Saya akan pastikan ada pencapaian besar yang boleh membezakan antara dua masa itu,” luah Nabila yang merupakan artis di bawah naungan Seventeen Eleven Music.

Lakonan dan nyanyian

Harus memberi fokus kepada dua kerjaya iaitu nyanyian dan lakonan, sudah tentu Nabila perlu membahagikan masa sebaik mungkin supaya hasil kerja kedua-duanya setara.

Namun menurut Nabila, dia tidak akan sesekali mengetepikan bidang nyanyian kerana itu matlamat utama dia menceburkan diri dalam industri seni.

“Peluang untuk berlakon semakin terbuka dan Alhamdulillah banyak tawaran walaupun pada dasarnya saya bukan berpaksikan pentas lakonan. Mungkin pengalaman yang tidak seberapa ini membuka mata pengarah untuk bekerjasama dengan saya.

“Kebiasaannya sebelum menerima sebarang tawaran lakonan, saya akan merujuk jadual nyanyian terlebih dahulu. Saya tidak mahu ia mengganggu aktiviti muzik terutama sewaktu kelas vokal atau tarian.

Menganggap lakonan sebagai bonus untuk lebih dikenali, Nabila tidak keberatan bekerjasama dengan mana-mana pengarah di Malaysia.

“Sebenarnya lakonan banyak membantu saya mengembangkan bakat dan menguatkan keyakinan diri. Daripada seorang yang malu-malu kini saya lebih yakin bila berhadapan dengan khalayak daripada pelbagai latar belakang.

“Saya mahu mengembangkan bakat ke peringkat yang lebih jauh, bukan hanya dalam dua perkara ini sahaja.

“Banyak lagi pencapaian yang saya impikan. Niat saya hanya satu, mahu melihat ibu bapa yang menjadi tulang belakang selama ini bangga dengan kejayaan saya,” luah Nabila.

Pinjam semangat Siti Nurhaliza

Melihat liku-liku perjalanan seni yang dilalui oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menjadi inspirasi kepada Nabila untuk terus mengorak langkah dalam dunia popular ini.

“Bukan sahaja kerana kehebatan vokal, Siti Nurhaliza juga mampu menjaga nama baiknya dalam industri tanpa sebarang kontroversi yang boleh menjatuhkannya.

“Aura kebaikan, kejayaan bahkan personalitinya yang sentiasa merendah diri walaupun sudah berada di puncak, sangat mengagumkan,” katanya.

Menurut Nabila, kejayaan Siti Nurhaliza membawa nama Malaysia di persada dunia dengan berbekalkan lagu-lagu Melayu sangat memberi inspirasi untuknya turut sama mengikut jejak langkah penyanyi nombor satu negara itu.

“Saya sangat kagum melihat kehebatan beliau yang mampu membawa muzik irama tradisional Malaysia ke luar negara,” akhiri Nabila.