Gemar dengan penampilan seksi, ramai yang berbulu mata dengan bekas anggota kumpulan Fabulous Cats yang kononnya, dari hari ke hari semakin berani berimej sebegitu.

Bukanlah sesuatu yang baharu, malah pernah Zizi ditegur orang awam yang marah dengan sikap terlebih beraninya itu. Namun, nampaknya semua itu bagai tidak dipedulikan oleh penyanyi ini.

Umpama sengaja memekakkan telinga, Zizi kononnya tetap teguh dengan prinsip dan pendirian untuk menjadi diri sendiri tanpa perlu dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam menentukan cara dia berpakaian.

“Sekurang-kurangnya saya tidak hipokrit dengan diri mahupun orang lain. Ini adalah diri saya yang sebenar dan rasanya semua pengikut tahu sehingga pernah digelar artis rap seksi.

“Tak cukup itu, ada juga yang keterlaluan melabel saya bukan muslim yang baik dan sebagainya. Jujurnya, saya hairan dengan orang yang mengata ni, seolah-olah mereka benar-benar mengenali saya secara dekat.

“Pada hal mereka tidak tahu pun kehidupan saya bagaimana. Beginilah, biarkan sahaja mereka dengan imaginasi dan fantasi mereka. Yang penting, saya tahu jaga diri sendiri,” katanya.

Zizi mengaku tidak kisah andai ada yang menganggap dia sengaja mencari publisiti. Sama ada dari sudut baik atau tidak, usah dipedulikan memandangkan ia tetap memberi faedah buat dirinya.Tambahan pula, kata anak kelahiran Samporna, Sabah ini, kedua ibu bapanya bukannya langsung tidak mengambil tahu perkembangan dan pergerakannya setiap masa.

“Walaupun tidak tinggal bersama dan mereka berada di Sabah, itu tidak bermakna ibu bapa tidak memantau saya di sini.

“Jangan tak tahu, setiap hari mereka akan mengintai di media sosial selain menghubungi saya secara peribadi dan setakat ini, tidak pernah lagi saya dimarahi kerana seksi ataupun dilabel sebagai anak derhaka.

“Setakat netizen nak kecam, saya sebenarnya tidak hairan pun. Asalkan bukan ibu atau ayah saya yang marah,”katanya.

Ya, barang kali Zizi mempunyai alasan tersendiri mengenai imejnya itu. Pun begitu, ramai menganggap caranya ini terlalu jijik dan murahan andai populariti menjadi fokus utamanya dalam aspek membina nama sebagai seorang artis.

Ironinya, kalau percaya diri benar-benar ada bakat bagus, Zizi tidak perlu pun menggunakan cara seperti ini untuk memastikan diri maju jaya dan mampu bersaing dengan kemunculan artis baharu termasuk yang sedia ada.

Bukan apa, bimbang Zizi tidak mampu bertahan lama sahaja dan hanya akan dikenang sebagai artis seksi sampai bila-bila. Sedih juga, kan?

Dalam pada itu, tidak menolak bahawa kehidupan zaman sekarang yang banyak dipengaruhi dengan teknologi dan media sosial, ia tidak membuatkan Zizi terkecuali daripada dihimpit dengan kecaman serta kritikan masyarakat dan netizen.

Berbanding zaman dia mula-mula menerobos masuk ke dalam industri, penggunaan aplikasi media sosial masih tersangat baharu dan belum benar-benar memberikan impak besar.

“Sekarang zaman orang suka jadi ‘makcik bawang’ di media sosial, ruang yang mudah untuk mereka suka mencari salah dan silap orang lain, apalagi golongan artis.

“Media sosial juga merubah cara saya ingin bergaya berbanding ketika baru jadi artis dulu. Saya juga mahu tampil menarik dan nak memuat naik gambar di Instagram. Kalau saya muat naik gambar yang bukan menunjukkan siapa diri yang sebenar, sama juga. Orang tetap akan mengutuk kalau mereka tahu dan nampak bagaimana saya di luar,”katanya.

Sukar untuk memuaskan hati orang, Zizi lebih selesa menjalani hidupnya seperti biasa. Ini termasuk mahu lebih fokus pada kerjaya seninya dan sibuk mempromosikan single ketiganya yang berjudul Nak Ke Tak Nak. Lagu terbitan Mixology Music itu sememangnya sengaja dihasilkan dengan bait-bait lirik secara santai yang menggambarkan situasi lazim di kedai mamak.

“Ia adalah sebuah lagu santai dan ringan dan memang saya ada terima kritikan menerusi lagu itu. Kadangkala hairan juga dengan mentaliti pendengar kita ni. Apabila buat lagu berat, tak mahu dengar, buat lagu ringan macam tu pun artis kena kutuk. Tetapi satu perkara yang mereka tidak boleh nafikan, dalam tak suka pun, mereka dengar juga. Lagipun lagu itu senang diikuti dan dinyanyikan,”katanya.