Sangeeta Krishnasamy
Sangeeta Krishnasamy
SANGEETA sekali lagi menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Adiwiraku.

Pelakon filem Adiwiraku itu ketika dihubungi Utusan Online berkata, dia tidak menjangkakan dalam tempoh singkat akan memenangi kemenangan berganda dan bersyukur para juri menilai kesungguhan bakatnya yang mendukung watak seorang guru Bahasa Inggeris dalam karya arahan Eric Ong berkenaan.

“Saya baru tahu mengenai kemenangan ini apabila diberitahu oleh seorang teman malam tadi dan tidak mengetahui tentang penganjuran majlis anugerah tersebut.

“Bagaimanapun saya ingin mengucapkan terima kasih atas pemilihan saya bagi kategori ini dan rasa bertuah sangat. Walaupun kali ini filem lakonan saya tewas kepada karya You Mean the World to Me yang diangkat selaku Filem Terbaik, kejayaan ini didedikasikan khas buat keseluruhan produksi Adiwiraku,” katanya.

Selain Sangeeta, lain-lain anugerah utama dimenangi oleh Saw Teong Hin (You Mean the World to Me) yang memenangi Pengarah Terbaik, Zahiril Adzim (Pekak/Pelakon Lelaki Terbaik), Amerul Affendi (Pekak/Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik) dan Datin Sofea Jane (Hanyut/Pelakon Pembantu Wanita Terbaik).

Sementara itu Sangeeta menambah, produksi tempatan harus memperbanyakkan karya-karya berdasarkan kisah benar yang berlaku di negara ini sebagai sebuah naskhah yang mampu memberi inspirasi.

“Saya berharap kita mempunyai lebih banyak filem yang berunsurkan kisah benar yang boleh dijadikan teladan serta inspirasi untuk generasi akan datang, sekali gus menunjukkan identiti kita yang sebenar sebagai bangsa Malaysia,” beritahunya. - UTUSAN ONLINE