Biar tidak berani meletakkan harapan yang tinggi, namun Kaka menganggap pembabitannya itu sebagai salah satu pintu untuknya dikenali pada mata dunia.

“Menjadi atau tak, Kaka serah kepada takdir. Tapi ini peluang yang tidak boleh disia-siakan, malah Kaka seronok dapat bekerjasama dengan artis antarabangsa kerana kita dapat belajar cara mereka bekerja,” katanya.

Selain itu, Oktober ini Kaka bakal hadir dengan buah tangan baharu, filem Zharfa the Movie, sebuah terbitan dari Indonesia dan diberi kepercayaan memegang watak utama.

Bergandingan dengan aktor seberang, Donny Alamsyah, Kaka yang mendukung watak Zharfa mengakui, naskhah itu memberi satu dimensi kepadanya sebagai pelakon dan penggerak buatnya dikenali di Nusantara.

Menjalani penggambaran di republik tersebut Jun lalu, Kaka memberitahu, telah memberikan yang terbaik untuk lakonannya itu dan berharap peminat menerima baik naskhah tersebut.

“Cerita ini berat. Sebagai pendukung watak utama memang mendebarkan menanti reaksi khalayak tetapi satu yang pasti, Kaka bertuah kerana dapat belajar dengan pelakon dan pengarah di sana,” katanya yang sebelum ini pernah membuat penampilan istimewa dalam filem berunsur thriller, Interchange dengan memegang watak Melur dan Aliff Dalam 7 Dimensi sebagai Izreen.

Selain itu Kaka juga pernah muncul dalam beberapa drama antaranya Dunia Generasi Baru, Plan Cinta Tak Jadi, Sara, Kesempatan Kedua dan Inai Yang Hilang.

“Ini merupakan titik tolak untuk saya kembali aktif dalam bidang seni suara dan lakonan secara lebih konsisten,” katanya.

Menyentuh mengenai single baharu Sibuk, Kaka memberitahu, dia selesa bekerjasama dengan Aliff Sleeq kerana lagunya yang dekat dengan cita rasa dirinya.

Pengalaman indah di Malaysia

Jika selama ini penulis berpeluang menemu bual artis Korea tapi pertemuan dengan Jung-min dan Min berbeza kerana tidak ada peraturan yang ditetapkan oleh pihak pengurusan mereka. Kami bebas berbual dan berswafoto.

Siapa yang tidak kenal dengan Min atau Lee Min-young, bekas anggota kumpulan Miss A. Dia yang pernah berlakon dalam drama Dream High sekarang ini lebih selesa melakukan tugasan sebagai pengacara program kecantikan.

Jelas Min, dia seronok mengendalikan program Get It Beauty On The Road kerana berpeluang berkongsi ilmu dan tip tentang kecantikan kepada penonton.

Biarpun kerjanya bergelumang dengan dunia kecantikan, dalam kehidupan seharian Min seperti wanita lain lebih selesa dengan gaya santai.

“Kalau tidak ada apa-apa urusan, saya tidak mengambil masa yang lama di hadapan cermin. Lainlah kalau saya perlu hadiri acara rasmi, sekurang-kurangnya 30 minit diperlukan untuk bersolek.

“Selain itu, saya juga perlu pastikan pakaian yang dipakai serasi dengan solekan,” katanya yang gemarkan gincu warna merah terang.

Dia yang sudah beberapa kali berkunjung ke Malaysia berkata, setiap kali datang ke negara ini, dia pasti tidak melepaskan peluang untuk mencuba makanan tempatan yang pelbagai jenis.

“Saya suka makan. Kehadiran kali ini saya berpeluang mencuba makanan di sebuah restoran di Jalan Alor dan berkunjung ke China Town di Jalan Petaling.

“Semasa menjalani penggambaran, saya juga melihat-lihat barangan di situ. Tidak cukup rasanya lima hari berada di Malaysia,” katanya yang menetap dengan neneknya.

Mengakui seronok bergandingan dengan Kaka, kata Min, dia kini membuat persiapan untuk menghasilkan album solo pertama yang bakal mengetengahkan genre pop, R&B dan dance music.

Sementara itu, Kim Jung-min juga memberitahu bahawa ini bukan kunjungan pertama kali ke negara ini dan mengakui seronok menjalani penggambaran di Malaysia.

“Dulu saya datang ke Malaysia sebagai pelancong dan memang tertarik dengan keindahan negara ini. Paling mengejutkan sepanjang penggambaran, saya tidak menghadapi masalah kulit walaupun cuaca di sini sangat panas.

“Saya juga tak sangka ramai peminat program Get It Beauty On The Road di sini. Memang saya teruja dapat berkongsi ilmu kecantikan dengan penonton.

“Apabila sudah terlibat dalam program kecantikan, saya sendiri suka mencuba pelbagai produk dan akhirnya rasa serasi dengan produk kecantikan halal. Saya juga terkejut kerana selepas menggunakan jenama halal, kulit saya menjadi lebih sihat,” katanya yang gemar melancong secara solo itu.

Jung-min yang fasih bertutur Mandarin itu berkata, penguasaan bahasa itu memberi kelebihan kepadanya kerana ke mana saja dia pergi, orang ramai beranggapan dia berasal dari China.

Biarpun sering dijadikan rujukan untuk kecantikan, Jung-min percaya kecantikan bukan saja dipandang secara fizikal tetapi bermula dari dalam.

Baginya kecantikan dalaman bermula dengan pemikiran yang sihat dan untuk itu dia sering melakukan yoga.

Kongsi kisah kecantikan

Bercerita tentang peluang menyertai program Get It Beauty On The Road yang dikendalikan oleh mentor kecantikan, Kim Jung-min dan bekas anggota kumpulan Miss A, Min, Kaka mengakui keterujaannya.

Menjalani penggambaran di sebuah studio di Sungai Buloh, Selangor selain Dataran Merdeka dan Pasar Seni, kedua-duanya tidak mengambil masa yang lama untuk menyiapkan dua episod program tersebut.

“Memang rasa bertuah kerana bukan sahaja ini kali pertama Kaka dapat bekerja untuk pengacara dan artis dari Korea, malah Kaka sendiri suka bercerita tentang kecantikan terutama perihal penjagaan kulit,” katanya.

Biarpun kali pertama bertemu dengan Jung-Min dan Min, Kaka akui tidak berasa kekok bergandingan memandangkan keserasian yang wujud antara mereka.

“Paling serasi tentu sekali dengan Min kerana dia pun penyanyi dan muzik yang diketengahkan pun hampir sama dengan Kaka. Yang pasti Kaka seronok berkongsi pengalaman dengan mereka,” kata penyanyi yang popular dengan lagu-lagu Bawaku Pergi, Bukan Hal Aku, Terpulanglah dan Terima Kasih ini lagi.