Melupakan sejenak kisah hidup, bertemu dengannya ketika sesi latihan teater Takhta 3 Ratu yang bakal dipentaskan pada 13 hingga 22 Disember ini di Istana Budaya, wanita ini mahu kerjaya lakonannya difokuskan.

“Ini adalah projek terakhir saya pada tahun ini. Saya yakin dengan kemampuan Takhta 3 Ratu, dan gabungan pelakon teater ini akan membawa kelainan buat penonton,” katanya membuka bicara.

Tidak perlu bicara panjang, primadona Melayu yang sudah cukup dengan popularitinya memang sudah diketahui kemampuannya untuk berlakon bukan sahaja dalam televisyen malah di atas pentas teater.

Kata Erra, dia sudah mula jatuh cinta dengan teater dan rasa dirinya dekat dengan penonton.

“Dulu memang gementar tetapi sekarang saya sudah nampak potensi kerjaya saya untuk dikembangkan dengan teater.

“Saya sebenarnya sudah tidak sabar lagi melihat hasil lakonan saya di pentas teater. Selepas teater ini, saya akan berehat sebentar,” kata aktres beranak satu ini yakin.

Dalam menceritakan kesediaannya menghadapi teater itu, Erra juga sempat memberitahu, kalau boleh, dia mahu babak berpelukan dikurangkan.

“Sebab saya kata begitu kerana saya tidak selesa. Keinginan itu sudah saya suarakan kepada pengarah Erma Fatima dan dia sangat memahami. Setakat pegang-pegang tangan memang ada tapi peluk tidak ada.

“Untuk teater ini, saya perlu bekerjasama dengan Awie lagi. Awie sahabat saya dan saya mahu semua yang kami lakukan tidak dipertikaikan.

“Memang untuk teater ini kami sudah mendapat keserasian tapi saya tidak mahu libatkan soal peribadi dalam hal ini. Saya selesa bekerjasama dengan Awie. Saya lihat ini sebagai salah satu cara untuk kita bekerja dalam keadaan yang profesional,” ujarnya.

Untuk teater ini Erra akan memegang watak Lela Wangsa dan projek teater ini adalah gabungan tiga produksi milik Rumah Karya Citra milik Erma Fatima, Erra Fazira Entertainment serta Awie Entertainment.

Selain Erra, antara pelakon lain yang akan turut terlibat adalah Azri Iskandar, Izreen Azminda, Awie, Remy Ishak dan ramai lagi.

Siri latihan yang sudah dimulakan sebulan lalu juga membuatkan Erra sudah semakin bersedia untuk latihan dialog.

“Saya mahu pertuturan itu lancar terutama dari segi sebutan untuk penonton faham. Untuk aksi pula tidak difokuskan sangat kerana masa terhad.

“Watak saya ini memang besar biarpun saya masuk selepas pengisahan dengan isteri pertama (Galuh) dan kedua (Puteri Hang Li Po) Sultan Mansur Syah,” katanya.

Mengagumi barisan pelakon yang semuanya hebat-hebat, Erra juga semakin yakin semuanya akan berlangsung dengan baik dan merupakan petanda awal untuk mendapat respon bagus dari penonton.

 

Menggantikan peranan pelakon asal Indonesia Feby Febiola sebagai Galuh Chenderai Kirana (puteri kerajaan Majapahit) dalam telefilem Takhta 3 Ratu, Izreen Azminda pula menggalas watak sama dalam teater.

Buat pertama kali akan tampil di pentas teater, Izreen juga punya kebimbangan sendiri.

Ya, perasaan itu dizahirkan kerana watak Galuh dalam cerita itu perlu berkemban. Kata Izreen, dia sebenarnya sudah bersedia menerima kritikan mahupun kutukan kerana kesudiannya menerima tawaran itu.

“Kalau saya belum bersedia, tidak mungkin saya akan mengambil tawaran kak Erma.

“Inilah pertama kali saya mencuba untuk berlakon teater. Boleh dikatakan, setakat ini, saya sudah 70 peratus menghayati watak.

“Bagi saya, kepercayaan dan peluang yang diberi itu tidak harus saya sia-siakan. Orang dah bagi, saya tidak akan mengecewakannya,” kata Izreen.

Cabaran besar yang perlu dihadapi itu juga membuatkan Izreen memberi fokus sepenuhnya dalam teater berkenaan.

Katanya, dia tidak mengambil tawaran lain selepas adanya peluang berlakon teater.

“Pembawakan watak dalam teater sangat besar. Sebelum ini, saya memang teringin nak berlakon teater.

“Terima kasih kepada kak Erma kerana beri peluang itu. Saya juga bersedia jika orang membandingkan lakonan saya dalam drama dengan teater.

“Sebagai pelakon saya tidak harus memikirkan perkara yang negatif tetapi mengambil semuanya sebagai pengajaran jika berlaku kesilapan,” ujarnya.

Selain perlu berkemban, Izreen turut diuji dengan lontaran dialog dalam bahasa Indonesia.

“Jika dalam telefilem, Feby yang memang pelakon asal Indonesia tidak perlu dirisaukan untuk bertutur dalam bahasa Indonesia.

“Saya ni orang Malaysia. Tapi, saya rasa itu cabaran pada diri saya. Saya akan buat yang terbaik supaya tidak ada yang membandingkan saya dengan Feby.

“Cabaran lain pula saya perlu beraksi menggunakan pedang,” jelasnya.

Gugup dan gementar itu yang diluahkan oleh pelakon bernama Azri Iskandar. Katanya, sudah enam tahun tidak berlakon teater. Kali terakhir beraksi ketika menjayakan pementasan teater Sirah Junjungan di Istana Budaya.

Pada waktu itu, Azri memegang watak Saidina Ali tetapi kali ini dia terpaksa membawa watak seorang sultan. Rasa bimbang itu semakin bertambah apabila, dia masih tidak yakin dengan kemampuannya membawa watak Sultan Mansur Syah dalam teater Takhta 3 Ratu.

“Pelakon lain lebih popular tidak membuatkan saya risau. Cuma saya risau adakah saya mampu membawa watak sultan dengan baik.

“Sebenarnya watak ini sangat sukar untuk saya, seorang sultan yang dikelilingi tiga orang ratu. Malah, watak sultan dalam teater ini perlu lebih beremosi.

“Harapan kami sebagai pelakon adalah mendapat sokongan daripada penonton yang hadir. Saya dan barisan pelakon lain berjanji akan memberikan yang terbaik.

“Saya juga sedar harapan tinggi penonton dalam setiap teater arahan Erma Fatima, jadi saya mahu beri yang terbaik,” katanya.

Untuk menambahkan lagi keyakinannya, Azri mengaku menggunakan khidmat isterinya, Ellie Suriaty sebagai guru lakonnya dalam teater berkenaan.

“Dia (Ellie) hadir memberi tunjuk ajar. Saya bersyukur kerana memiliki isteri yang bukan sahaja boleh berlakon tetapi mempunyai pelbagai kemahiran seperti mengarah dan menulis skrip.

“Sepanjang latihan, Ellie banyak membantu dalam lakonan dan tanpa dia, saya tidak punyai kekuatan untuk membawa watak Sultan Mansur Syah,” katanya.

Berkongsi sedikit tentang kehidupannya sebagai seorang aktor yang memiliki kredibiliti, Azri berkata, dia sedang sibuk menguruskan syarikat produksi sendiri yang dibuka bersama isteri iaitu Timang Tinggi Pictures.

“Saya masih lagi mempunyai rezeki dalam bidang seni. Walaupun, kerjaya lakonan saya semakin perlahan tetapi saya masih ada tawaran untuk berlakon.

“Saya juga segan ditemu bual oleh pihak media kerana sedar dengan usia. Rasanya, dekat luar sudah ramai pelakon baru yang berbakat. Tetapi saya terima ini sebagai peralihan dalam kerjaya saya.

“Kadang-kadang sukar juga untuk saya terima hakikat ini tetapi tidak mengapa saya masih ada isteri sebagai sumber kekuatan saya,” jelas pelakon berusia 46 tahun itu.