Drama arahan Feroz Kader ini mengisahkan tentang tiga remaja iaitu Khai (Shukri), Mika (Talha) dan Que (Zoey) yang datang dari keluarga elit yang merasakan diri mereka terabai dek kesibukan keluarga yang hanya tahu mencari duit.

Tiga remaja ini mendambakan keseronokan memilih kegiatan perlumbaan kereta bagi merasai jiwa remaja mereka sehingga lama-kelamaan mereka telah terlibat dengan kegiatan jenayah meskipun mereka tidak pernah �kering� dihujani oleh kemewahan keluarga.

Maryam, ibu Que mula risau melihat anaknya terlalu rapat dengan Khai dan Mika. Setiap kali Que keluar dengan mereka berdua, dia pasti akan pulang ke rumah menjelang dinihari.

Dahulunya Que yang sering menjaga waktu solat, kini sudah semakin kurang melakukan ibadah solat, kerana itulah ibunya semakin bimbang dengan perubahan pada diri Que.

Meskipun Que seorang yang akan pendiam,sering meyakinkan pada ibunya bahawa dirinya tidak pernah melakukan apa-apa yang salah dan dia masih berada di landasan betul. Ini terbukti apabila keputusan peperiksaan Que begitu membanggakan orang tuanya.

Sementara itu, Dr.Rizman seorang pakar bedah yang beralih arah menjadi usahawan produk kesihatan dan kecantikan terkemuka sudah berhenti memberikan duit saku kepada Khai. Biarpun bapa Khai tidak memberikan duit saku lagi, namun ibunya Shuhada atau Shuha masih memberikan duit kepada Khai jika diminta.

Shukri jatuh hati

Bagi Shukri Yahaya, sebelum ini dia banyak dikenali dengan memegang watak tipikal seperti watak-watak baik yang tidak terlalu berat.

�Penonton kenali saya ketika saya berlakon dalam Menjinak Ombak dan dalam cerita itu saya bawa watak seorang biasa sahaja yang tidak terlalu berat. Tetapi ketika diberi peluang bawa watak Khai dan baca skrip, saya terus jatuh hati dan berharap agar pihak produksi memilih saya.

�Saya rasakan watak Khai ini memang lain dari sifat sebenar saya. Cerita ini banyak memaparkan babak lumba kereta dan ada juga beberapa aksi yang dilakukan saya sendiri selain ada stuntman yang membantu menjayakan.

�Dua minggu sebelum mula penggambaran, kami semua belajar dengan beberapa orang pelumba drifter bagi mengetahui serba sedikit kemahiran dalam memandu kereta lumba," tutur Shukri.

Shukri mahu lari daripada watak biasa dan mahu menguasai semua ruang lingkup watak yang ada bagi merasai pengalaman selain dapat pelajari benda baharu.

Risteena jadi pelacur

Dalam drama ini juga turut menampilkan Nur Risteena sebagai gandingan bersama dengan Shukri. Untuk melakonkan wataknya, Risteena menjadikan aktres Hollywood, Angelina Jolie dan Jodie Foster sebagai tempat rujukannya setiap kali memulakan penggambaran.

�Saya pegang watak Iris yang merupakan seorang yang sangat lasak dan sering timbulkan masalah. Memang ini watak yang saya idamkan selama dua tahun bergelar anak seni, kerana bagi saya ia berbeza.

�Bagi menghidupkan watak Iris ini, saya diminta pihakpenerbit untuk memotong pendek rambut saya, namun atas perbincangan bersama, akhirnya semua pihak bersetuju untuk saya pakai rambut palsu sahaja.

�Dalam cerita ini juga saya ada memandu sendiri kereta lumba dan ada jugalah dibantu oleh beberapa stuntman. Satu pengalaman yang sungguh luar biasa, walaupun hanya beberapa babak berpeluang untuk pandu sendiri dan selebihnya dilakukan oleh stuntman, tapi itu sudah cukup memandai buat diri saya.

�Saya mahu dikenali sebagai pelakon versatil, jadi tidak salah untuk saya cuba warnakan lagi watak-watak yang belum saya bawakan," kata Risteena yang mahu ubah persepsi peminat terhadap lakonannya sebelum ini.

Tambah Risteena lagi, setelah berjaya mencabar dirinya berlakon dalam drama bersiri Plan B, dia ada menerima tawaran untuk sekali lagi memegang watak seorang pelacur yang bakal menjalani penggambaran di sekitar Chicago, Amerika Syarikat tidak lama lagi.

�Saya mahu cabar diri sendiri dan tidak mahu terikat kepada watak gadis kampung sahaja. Ada juga watak yang saya idamkan selama ini,seperti watak pelacur dan jadual penggambarannya nanti akan dilakukan di Amerika Syarikat.

�Alhamdulillah impian saya nyata tercapai sebab saya ada menerima tawaran untuk melakonkan watak seperti itu. Biarpun saya bawa watak begitu, saya juga perlu tahu untuk menjaga batas-batas agar lakonan yang saya bawakan itu tidaklah terlalu keterlaluan untuk tontonan penonton," ujarnya.

Tidak lepas peluang

Selain Shukri, Zoey Rahman turut antara yang teruja berpeluang melakonkan watak aksi meskipun ada kebanyakan kurang yakin terhadap keupayaannya yang seperti masih dibayangi wajah keanak-anakan.

�Menerusi drama ini, saya mahu buktikan pada semua saya mampu bawa watak aksi dan emosi yang sememangnya mencabar. Tidak semestinya memiliki wajah �jambu� dan keanak-anakan jadi penghalang besar untuk saya berjaya dalam bidang lakonan.

�Orang lihat saya macam budak-budak, walhal umur saya sudah berusia 29 tahun. Saya sering juga ke gimnasium untuk bersenam dan untuk tambah bentuk otot. Disebabkan muka saya dan tumbuh badan yang kecil, ramai orang salah tafsir dengan usia sebenar saya.

�Sejak dahulu lagi, saya banyak diberikan watak yang sama sahaja, mungkin pihak produksi melihatkan kepada rupa paras saya yang sesuai untuk memegang watak yang tidak terlalu berat. Sebab itulah waktu saya tidak mensia-siakan peluang yang diterima dan berusaha sebaik mungkin habis untuk jiwai watak Que.

�Saya jenis yang tidak mudah mengalah, dan sering ada perasaan untuk sahut cabaran baru. Plan B ini antara watak yang sangat mencabar dan alhamdulillah saya berjaya lakukan dengan baik," kata Zoey yang turut menjalankan perniagaan produk kecantikan Mika Series.

Pun begitu, penonton tidak hanya dapat menonton kehebatan tiga lakonan pelakon yang kian meningkat naik ini sahaja, pelakon Talha Harith yang memegang watak Mika, seorang yang dipenuhi dengan banyak masalah daripada pelbagai pihak.

Talha mahu belajar

Kata Talha, dia yakin untuk membawakan watak itu bukanlah atas dasar pengalamannya sendiri, tetapi mahu belajar mendalami ilmu seni lakonan secara lebih meluas.

�Saya seronok berlakon dengan mereka yang muda-muda, kami sebaya. Memang lebih mudah untuk bekerjasama dan tidak timbul masalah sewaktu penggambaran dijalankan.

�Watak ini secara peribadinya memang menguji mental saya sebab ada adegan yang memerlukan saya memandu sendiri kereta lumba tersebut dan syukur saya berjaya menguasai kemahiran memandu kereta drift tersebut," jelas Talha tentang pengalamannya sepanjang berlakon di dalam drama Plan B.