Demikian tegas penyanyi Elly Mazlein yang begitu tabah menempuh pelbagai dugaan sepanjang tempoh pertunangan dengan pengarah drama dan filem, Azmi Hatta.

Malah wanita berusia 33 tahun ini mengakui tidak pernah mengambil hati dengan mana-mana pihak yang menggembar-gemburkan kisah peribadinya itu.

Sementelah dia juga tidak membaca mana-mana ruangan gosip di akhbar atau blog hiburan kerana tidak mahu menyesakkan fikirannya dan hidup dalam tekanan.

"Saya membiarkan orang luar menilai keputusan saya untuk berdiam diri dalam soal perkahwinan saya. Ada yang meramalkan saya tidak jadi berkahwin dan sebagainya.

"Saya ada jawapan tetapi memilih untuk tidak bercerita melainkan sudah ada keputusan muktamad," katanya yang mengikat tali pertunangan dengan Azmi sejak 29 Mei 2011.

Pun begitu kata Elly, kini dia boleh menarik nafas lega apabila sudah mendapat kesepakatan daripada Azmi yang mahu perkahwinan mereka berlangsung pada 9 November ini.

Majlis pernikahan Azmi-Elly bakal diadakan di Surau As Sakinah yang terletak berdekatan pusara arwah ibunya, Sabariah Ahmad di Nusa Putra, Puchong, Selangor kira-kira pukul 11 pagi.

Sementara majlis berinai akan dibuat di rumah keluarga Elly yang terletak di Putra Perdana, Puchong pada malam sebelumnya.

Mengakui tiada apa-apa keistimewaan memilih tarikh berkenaan kata Elly yang masih dalam tempoh berkabung selepas arwah ibunya kembali ke rahmatullah awal Mei lalu.

"Pihak Azmi mahu mempercepatkan tarikh perkahwinan kami yang sepatutnya diadakan pada hari jadinya iaitu 12 Februari tahun depan. Ini kerana dia mahu menjaga saya dan abah (Syed Hanafi Syed Abdullah) selepas arwah mama tiada.

"Saya sendiri berat hati untuk berkahwin sebab asyik terkenangkan arwah mama yang semasa hayatnya sentiasa memastikan kesempurnaan untuk majlis perkahwianan kami.

"Sudah pasti ketiadaan arwah mama membuatkan hati saya berduka," kata Elly yang mengakui tidak akan mengadakan majlis persandingan pada hari pernikahannya nanti.