Nadiya Shahab

“Kebaikan hati dan cara menangani masalah juga memberi kelebihan kepada seseorang. Bukan nak kata saya ini hebat.

“Tapi itulah hakikatnya penilaian umum terhadap seseorang artis pada hari ini. Mereka tidak lagi mahu artis yang tahap pemikirannya ‘biasa-biasa’ sahaja untuk dijadikan idola.

“Mesti ada faktor ‘wow’ dan tentunya ada penilaian tersendiri yang membolehkan seorang artis itu diminati,” tegas Nadiyah tentang kriteria artis masa kini.

Mengagumi aktres Lisa Surihani yang menurutnya memiliki pakej cantik dan bijak, pelajar undang-undang Universiti of London, Singapura ini juga terpesona dengan aura aktres berkenaan.

Meskipun belum pernah bertentang mata namun dengan keupayaan teknologi untuk mengakses Lisa di alam maya, Nadiyah merasakan wanita itu antara artis yang wajar dicontohi.

Selain latar belakang Lisa sebelum menceburi bidang glamor, cara aktres itu menangani situasi setiap kali namanya terpalit dengan kontroversi juga bagi Nadiyah amat menyenangkan.

“Pintar itu bukan sekadar imej luaran tetapi meliputi keseluruhan artis itu. Akal budi melengkapkan kualiti mereka di mata masyarakat.

“Kalau ada asas ini, saya yakin selepas ini tiada lagi sebab untuk peminat sewenang-wenangnya mengecam golongan artis andai terpalit dengan kontroversi.

“Hakikatnya hari ini peminat pun sudah tidak berminat ambil tahu tentang gosip. Saya sendiri pun tidak mahu mencetuskan cerita murahan sepanjang bekerja dalam bidang ini.

“Lebih-lebih lagi kalau nak menjadikan cara itu sebagai jalan pintas untuk terkenal. Yang pasti, itu bukan cara saya,” jelasnya.

Pengacara

TENTANG Lost At Sea yang ditayangkan di saluran Go ASEAN ini, Nadiyah berbesar hati apabila diberi peluang menjayakan program berkonsepkan pengembaraan itu.

Menjelajah ke beberapa destinasi terpilih di Asia Tenggara, Nadiyah tidak menyangka hobinya yang suka mengembara menarik minat produksi untuk menawarkan mengacara program tugasan berkenaan.

Mengembara ke Myanmar, Filipina, Kemboja, Jogyakarta dan Sulawesi Indonesia serta Sarawak, Lost At Sea tidak seperti siri pengembaraan lain.

Tanpa bantuan peralatan canggih dan moden, Nadiyah perlu melengkapkan cabaran menerusi interaksi dengan penduduk setempat.

“Dalam banyak episod, saya gagal menyelesaikan tugasan makan kepala ikan mentah. Begitu juga dengan pengalaman mendaki bukit di Sarawak.

"Itulah antara cabaran Lost At Sea namun program itu yang banyak menguatkan mental dan fizikal saya untuk berdepan dengan permasalahan yang timbul sepanjang perjalanan,” ujarnya yang menjalani penggambaran program berkenaan November lepas dan akan bersiaran mulai hari ini pada pukul 9.30 malam.