Membariskan bintang-bintang hebat seperti Shaheizy Sam, Ayda Jebat dan Farid Kamil, filem romantik berkenaan yang berlatarbelakangkan persekitaran indah di Sungai Lembing, Pahang menjanjikan keindahan alam semula jadi untuk tatapan para audiens.


Berkata kepada Utusan Online, heroinnya, Ayda Jebat mengakui, dia mengalami beberapa kecederaan kecil sewaktu dalam perjalanan bagi menjayakan penggambaran di Air Terjun Pelangi, tarikan utama pelancongan domestik di negeri itu.


“Kami memakan masa kira-kira dua jam berjalan kaki melalui trek yang disediakan untuk menuju ke air terjun tersebut. Malangnya, pada hari pertama, pelangi yang diharapkan tidak muncul.


“Jadi, pihak produksi membuat keputusan untuk kembali semula ke lokasi yang sama keesokan harinya semata-mata mahu merakamkan pemandangan pelangi untuk diselitkan dalam adegan filem ini,” kata Ayda berkongsi pengalamannya.


Walaupun mengalami luka-luka kecil, menurut Ayda, penat lelahnya berbaloi apabila menyaksikan betapa indah pemandangan di sekitar Air Terjun Pelangi.


Katanya, keletihan yang dirasakan ketika mendaki trek tersebut hilang serta-merta apabila dapat melihat sendiri terbitnya pelangi pagi di samping mendengar deruan air terjun yang menyamankan dan menghirup udara segar persekitaran.


“Seawal pukul 4 pagi kami dan kru produksi memulakan perjalanan dan kejerihan itu tidak dirasakan tatkala pelangi terbit terkena biasan mentari,” ujarnya.


Selain merupakan pelakon utama, lagu duet nyanyian Ayda dan Adi Priyo menggunakan judul yang sama turut dijadikan lagu runut bunyi (OST) filem berkenaan.


Klip video OST tersebut diarahkan sendiri oleh Ayda dengan dibantu oleh produksi The Malaya TV. - UTUSAN ONLINE