Bagi Neelofa Mohd Noor, itu menjadi pengalaman paling getir yang pernah dilalui sepanjang hidupnya. Tidak pernah menyangka banjir besar yang berlaku merubah daerah tersebut sekelip mata, dia mengerti luka pedih yang ditanggung oleh penduduknya.

Atas rasa kemanusiaan, Neelofa tidak betah duduk diam. Dia perlu melakukan sesuatu, lebih-lebih lagi kebanyakan mangsa bencana tersebut memerlukan sokongan moral daripada semua pihak.

Kehadiran Neelofa ke situ tidak sendirian. Dia bersama-sama rakan artis lain termasuk Nabil Ahmad dan Aril Pilus pada 10 Januari lalu.

“Memang selama ini saya hanya melihat kemusnahan yang berlaku di media sosial dan surat khabar sahaja. Tak sangka pula sebenarnya keadaan lebih teruk daripada itu.

“Bila sampai di sana saya jadi sebak. Bukan apa, yang saya lihat selama ini hanyalah sebahagian sahaja kemusnahan tersebut. Tapi keadaan sebenar jauh lebih dahsyat dan membuatkan saya sedih mengenangkan nasib mereka.

“Ada rumah yang dihanyutkan air dan tak kurang juga yang ditenggelami air beberapa hari. Sudah pasti mereka terpaksa memulakan semula hidup baharu memandangkan segala-galanya telah musnah,” ungkapnya sedih.

Kehadiran Neelofa ke sana adalah kerjasama antara rancangan MeleTOP, Nealofar Hijab dan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy) untuk membantu mangsa banjir.

Walaupun cuma sehari sahaja, situasi berkenaan masih berbekas di hatinya memandangkan banyak perkara yang harus difikirkan untuk membantu mereka.

“Saya terfikir macam mana mereka nak memulakan kehidupan baharu. Ada rumah yang musnah dan langsung tak boleh digunakan dan mereka terpaksa membina khemah di kawasan lain.

“Bila malam mereka terpaksa menggunakan lilin dan tandas pula hanyalah sungai . Ini memang pengalaman yang cukup menginsafkan saya.

“Apabila kita beri bantuan bahan makanan, mereka tidak boleh memasak kerana dapur sudah dihanyutkan arus. Sebab itu saya fikir sumbangan wang ringgit lebih penting buat masa ini.

“Setidak-tidaknya mereka boleh menggunakan wang itu untuk membeli keperluan asas dan membina kembali kediaman yang telah musnah,” jelasnya lagi.

Paling terharu apabila dia melihat sendiri ketabahan penduduk di situ menghadapi musibah.

Meskipun hanya mereka yang melalui penderitaan tersebut namun tidak langsung menjejaskan emosi untuk bangkit memulakan kembali kehidupan baharu.

Kembali aktif

Selepas hampir setahun berehat daripada bidang lakonan, ini menerbitkan rasa rindu kepada pelakon dan pengacara ini. Baginya 2014 merupakan tahun yang begitu mencabar kerana dihambat dengan beberapa cerita panas.

Mahu meninggalkan jauh-jauh kisah kurang manis itu , Neelofa mengharapkan tahun ini ada kemanisan dalam hidupnya.

Menolak awal-awal tentang jodoh, dia bertekad untuk kembali aktif dalam bidang seni terutama lakonan.

Kali terakhir dia berada di set penggambaran menerusi filem Pilot Cafe yang bakal ditayangkan Mac ini.

“Memang saya rindu nak kembali berlakon. Tapi kalau boleh saya mahu berlakon telefilem sahaja dan bukannya drama bersiri yang panjang.

“Sebelum ini pun sudah ada perbincangan dengan beberapa orang pengarah yang memberikan tawaran. Kalau jalan cerita sesuai dengan imej berhijab saya, rasanya tak ada masalah.

“Saya rasa semua pengarah pun faham dengan imej saya. Tak mungkin mereka memberikan watak yang kurang sesuai kepada wanita berhijab,” kata pengacara program MeleTOP ini lagi.

Buat masa ini tumpuan Neelofa lebih kepada bisnes kanta lekap Lofa Lens, Nealofar Hijab dan beberapa rangkaian perniagaan lain.