Bukan mudah untuk dia kekal popular dalam radar seni yang setiap hari didatangi pendatang baharu silih berganti. Sama ada tetap berpijak dalam lingkungan popular atau tidak, terpulang kepada usaha.

Tidak pernah ada perjalanan seorang anak seni yang semudah mematahkan sebatang pensil. Liku yang perlu ditempuh mengajar seseorang untuk terus kuat bersaing merebut tempat dalam industri.

 

Sedar banyak cabaran yang harus didepani, bagi Aiman, dia perlu menyusun strategi dengan lebih berhati-hati selain menghadiahkan peminat karya seni yang berkualiti dan terbaik.

Justeru, dia tidak mahu lagi bermain-main dan serius dalam mengemudi bahtera seni dengan membentangkan hamparan karya yang bakal mengubah haluannya selepas ini dalam industri.

“Saya sudah berbincang dengan pihak pengurusan dan ibu bapa untuk mengubah hala tuju dan genre lagu selepas ini. Memang saya dikenali sebagai penyanyi lagu jiwang, tetapi mungkin selepas ini kita cuba genre lain.

“Sudah lama sebenarnya saya menyimpan hasrat untuk mencuba genre lain seperti R&B dan pop. Cuma sebagai anak, saya perlu melunaskan impian ibu bapa dan menyanyikan lagu ciptaan mereka terlebih dahulu.

“Alhamdulillah, mereka sekarang sudah faham dan untuk single seterusnya, saya akan tampil dengan imej berbeza dan muzik yang lebih segar. Tak sabar sebenarnya,” kata anak keempat daripada 10 beradik ini.

Turut merancang mengajar diri lebih berdikari selepas ini, Aiman juga bakal melangkah keluar rumah dan mula belajar menetap di rumah sendiri. Itu perancangannya tahun depan.

Bukan mahu membawa diri apatah lagi sudah berasakan diri dewasa, namun dia sedar sebagai seorang anak lelaki, dia perlu lebih matang dalam mengemudi kehidupan sendiri.

“Saya akan duduk di rumah sendiri, tetapi mungkin tahun depan. Belum berbincang secara serius dengan ibu bapa, tetapi saya tahu mereka akan terima dan faham. Saya perlu belajar berdikari.

“Saya tidak pernah rasa duduk di rumah sendiri dan menguruskan diri. Bukan berasa diri sudah besar, tetapi saya perlu jadi lebih matang. Teruja untuk tunggu fasa itu.

“Mungkin akan timbul kerisauan takut saya lupa diri dan tidak pandai menjaga tata susila serta perangai. Insya-Allah, saya ada prinsip hidup dan tidak akan sesekali mencuba perkara yang boleh memalukan keluarga,” jelasnya.

Berkongsi pengalaman sebagai pelakon menerusi drama bersiri popular, Mok Cun, Aiman memasang impian untuk mencuba berlakon dalam industri perfileman pula. Baginya, tidak salah mencuba bidang berbeza.

Sekadar mahu menambah rencah dalam sajian seninya, penyanyi Ku Sesat Dalam Rindu itu mendedahkan pernah menolak beberapa tawaran berlakon filem kerana kesibukan kerja.

“Masa mula-mula muncul dahulu, memang ada tawaran filem, tetapi ketika itu saya terlalu sibuk sehingga terpaksa tolak semua. Tetapi sekarang sudah pandai menyusun jadual.

“Bukan tamak, cuma saya rasa bergelar anak seni kita perlu berani mencuba sesuatu. Tak rugi pun. Lagipun, dari situ kita boleh belajar banyak perkara,” katanya yang berasakan dunia lakonan menuntut komitmen sangat tinggi.

Turut merancang mengembangkan perniagaannya, Aiman sedar kerjaya sebagai seorang anak seni tidak selamanya disanjung. Maka, dia perlu buat persediaan rapi sebelum berdepan saat itu.

Setahun bergelar Pengarah Urusan syarikat miliknya, Manno Resources Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 19 Disember tahun lalu, anak kelahiran Kuala Kubu Bharu, Selangor ini akan mencuba cabang perniagaan lain.

“Saya perlu kukuhkan perniagaan Jus Manno dan Jus Manno Junior yang berasaskan ramuan semula jadi. Sekarang saya mahu mencuba perniagaan restoran pula,” katanya.

Baru sahaja melancarkan single keempatnya, Terlerai Sebuah Janji, Aiman meletakkan harapan tinggi kepada lagu yang mengangkat kisah benar tentang kekecewaan seorang lelaki.

“Lagu ini sudah direkod lima bulan lepas dan berkisahkan seorang lelaki yang kecewa dengan cinta. Lirik lagu ini ditulis berdasarkan sebuah kisah benar.

“Ia berlaku kepada ahli keluarga saya sendiri. Dia sudah dua kali berkahwin dan kedua-dua perkahwinannya gagal. Sejak itu dia mengalami kemurungan dan kehidupannya seperti tidak terurus.

“Saya sendiri seolah-olah dapat merasai kesedihannya bila menyanyikan lagu ini. Kisah ini sudah lama berlaku namun kesannya cukup mendalam,” katanya.

Diaju soalan tentang kesihatannya, Aiman mendedahkan, dia terpaksa menolak pembedahan bagi membuang tonsil dek kerana takut kehilangan suara.

Justeru jelas Aiman, dia terpaksa sentiasa berjumpa doktor dan mendapatkan rawatan bagi mengawal tonsilnya.

“Sekarang suara saya kembali pulih, tetapi bila menyanyi ramai yang komen dengar seraknya. Saya tak boleh kawal, cuma kena belajar teknik vokal yang betul.

“Mungkin selepas ini saya perlu cari lagu yang sesuai dengan suara serak ini. Tonsil memang bermasalah tapi kalau hendak bedah takkan dilakukan sekarang. Takut nanti tak boleh menyanyi lagi,” katanya.