Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Aiman bukan mata duitan

MINAT dunia perniagaan... Aiman Tino dengan produk kecantikannya, Sweet Aiman. 2
MINAT dunia perniagaan... Aiman Tino dengan produk kecantikannya, Sweet Aiman.

Tidak sampai setahun mengorak langkah dalam industri seni, populariti yang diraih penyanyi remaja, Aiman Tino sangat memberansangkan. Memikat hati peminat muzik tempatan melalui single ‘berhantu’, Kurela Dibenci, jejaka berusia 19 tahun ini semakin rancak membina nama.

Dilabel sebagai artis paling laris, tidak hairanlah sekiranya Aiman atau nama sebenar Mohammad Aiman Yusri menjadi rebutan para usahawan untuk bekerjasama dengannya.

Dalam soal ini, Wonder Glow Cosmetics (M) Sdn. Bhd., menjadi pilihan Aiman untuk menjalin kerjasama sebagai rakan strategik. Bagaimanapun Aiman menafikan lonjakan populariti yang membuatkan dia mengeluarkan produk kecantikan, Sweet Aiman.

Sebaliknya rancangan untuk membina perniagaan sudah lama terlakar dalam diari hidup anak kelahiran Kuala Kubu Bharu, Selangor, ini. Justeru tawaran yang diterima daripada Pengarah Urusan Wonder Glow Cosmetics, Datuk Ryzal Jamaludin umpama peluang keemasan buatnya.

“Saya lakukan semua ini atas dasar minat bukannya populariti. Saya memang sudah lama teringin untuk membuka perniagaan. Setiap kali ditanya apa yang ingin saya lakukan untuk masa depan, saya akan beritahu bahawa saya berminat untuk berniaga.

“Lagipun sejak kecil saya sudah biasa membantu ibu bapa di restoran mereka. Jadi berniaga ini bukanlah satu perkara asing bagi saya dan keluarga.

“Ketika ditawarkan, ibu dan bapa saya banyak berbincang mengenai hal ini. Oleh sebab saya masih muda dan mungkin masih banyak yang saya tidak tahu, 
saya serahkan hal ini kepada mereka.

“Pun begitu, mereka tetap bertanya kepada saya sama ada saya bersetuju atau tidak dengan semua perancangan dan cadangan mereka.

“Setelah jelas dengan perkara yang dirancang barulah saya bersetuju,” jelasnya yang ditemui Mega HITS baru-baru ini.

Sibuk dengan aktiviti nyanyian dan pada masa yang sama perlu giat mempromosikan produk, Aiman akui semua itu memerlukannya bekerja dengan lebih gigih.

Baginya walaupun telah memiliki sebuah perniagaan, kecintaannya terhadap karier seni tidak akan padam. Justeru tawaran nyanyian dan tanggungjawab memperkenal produk akan berjalan seiring.

Pun begitu, Aiman menolak andai ada pihak yang mengatakan dia tamak mengejar kejayaan pada usia yang masih muda.

“Saya akan tetap meneruskan kerja sebagai penyanyi walaupun kini sudah bergelar usahawan. Pada masa yang sama, komitmen terhadap jualan dan promosi produk tetap saya berikan. Saya tidak akan perlahankan nyanyian kerana perniagaan ini seperti sampingan.

“Saya bukanlah tamak atau mata duitan apabila melakukan dua kerja pada usia yang masih muda. Saya hanya mencari rezeki yang halal dan tidak menyusahkan orang lain,” ujarnya.

Meskipun mempunyai jutaan peminat sama ada dalam kalangan dewasa mahupun kanak-kanak, finalis Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) ini tidak dapat lari daripada menerima kritikan negatif terutama oleh netizen.

Berdepan dengan situasi ini, Aiman tidak cepat melatah. Sebaliknya menganggap semua tohmahan tersebut sebagai nasihat untuknya menjadi penghibur yang lebih baik.

“Sebagai artis perkara seperti itu sudah menjadi kebiasaan dan saya tidak mengambil hati dengan yang diperkatakan.

“Ketika membaca komen-komen mereka, pada awalnya memang ada sedikit terasa hati tetapi saya ambil positif. Saya anggap ini satu nasihat kepada saya untuk menjadi insan yang lebih baik,” ujarnya.

Sambung belajar

Dalam meniti usia yang masih muda remaja, soal pelajaran pastinya menjadi soalan ‘wajib’ ditanya kepada Aiman. Sedar kepentingan ilmu, Aiman turut merangka rancangan untuk menyambung pengajian pada peringkat lebih tinggi.

“Sebenarnya sebelum menjadi penyanyi dan keluar dengan single pertama, saya ada menerima tawaran sambung belajar di Johor. Ketika itu saya memang teringin untuk ke sana tetapi ayah saya cakap terlalu jauh.

“Kalau boleh ayah saya mahu saya memasuki institusi pengajian tinggi di sekitar Kuala Lumpur sahaja. Ini kerana sejak kecil saya sendiri sukar untuk tinggal berjauhan daripada keluarga.

“Selepas menjadi penyanyi, tumpuan saya lebih terarah kepada aktiviti nyanyian dan tiada peluang waktu untuk sambung belajar. Tetapi kalau ada rezeki dan kesempatan, saya akan sambung belajar pada pertengahan tahun ini dalam jurusan perniagaan atau muzik.

“Walaupun sedang belajar nanti bukan halangan untuk saya aktif menyanyi. Saya tetap akan hasilkan lagu baharu kerana sayang pula rasanya kalau saya kurangkan aktiviti nyanyian ini,” akhirinya.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan