Tanpa berselindung, Aidit menyifatkan Rita seorang wanita periang dan mudah didekati, sekali gus menimbulkan keselesaan tatkala berdampingan dengannya.

“Baru-baru ini kami terbabit dalam produksi drama Congirl terbitan Zeel Production. Kak Rita merupakan bintang utama siri tersebut, sementara saya cuma terbabit menerusi beberapa episod.

“Sewaktu menjalani penggambaran di Budapest, Hungary baru-baru ini, barulah ada beberapa babak yang mempertemukan kami berdua. Walaupun pertama kali digandingkan, kami cukup serasi,” cerita pemilik nama penuh Ahmad Aidit Noh itu.

Bagaimanapun, tatkala ditanya kebenaran khabar angin mendakwa dirinya menjalin hubungan istimewa dengan Rita yang berstatus ibu tunggal itu, ternyata soalan tersebut membuat air muka Aidit berubah.

Sambil tertawa kecil, Aidit menegaskan bahawa dia belum sedia memikirkan soal cinta kerana masih lagi bergelar seorang siswa di sebuah institusi pengajian tinggi.

“Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Kak Rita saya anggap sebagai seorang kakak dan rakan artis yang banyak membatu di set penggambaran drama tersebut,” jawab anak kelahiran Kuala Kubu Bharu, Selangor itu.

Menurut penuntut tahun akhir peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pesawat di UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) itu, gosip liar tersebut dipercayai sengaja diada-adakan oleh individu tertentu yang ingin mengusiknya.

“Masa di sana, kami memang banyak berborak terutama perihal Piala Dunia 2018 yang sedang berlangsung ketika itu memandangkan dia juga meminati dan mengetahui perkembangan sukan bola sepak dunia,” tambahnya yang kini sedang giat menjalani penggambaran telefilem berjudul Renjana arahan Shuhaimi Lua Abdullah. - UTUSAN ONLINE