Menurut pelakon ini alasan kenapa dia terpaksa “melayan” karenah pelakon Aliff Aziz adalah disebabkan permintaan produksi sendiri.

Selain itu dia mendakwa menjadi satu-satunya individu yang boleh memujuk Aliff untuk ke set penggambaran Izinkan Aku Mencintaimu selepas pelakon yang berasal dari Singapura itu gagal hadir ke set selama lapan hari.

“Sepatutnya penggambaran 13 episod memakan masa sebulan sahaja. Tapi disebabkan masalah itu, tempoh penggambaran sudah menjadi dua bulan.

“Mahu tak mahu, pihak produksi ada mencadangkan beberapa idea sebagai jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini. Antaranya melayan apa sahaja permintaan Aliff termasuklah ke karaoke.Tapi bila dibuat, nampaknya lain pula yang jadi,” kata Afifah kesal.

Dalam pada itu, Afifah turut menyatakan dia mempunyai bukti untuk menunjukkan dalam keadaan ini dia hanya dipergunakan malah keadaan sebenar juga diketahui pihak produksi.

Dia turut menjelaskan keadaan sebenar ketika kejadian diserbu isteri pelakon tersebut di pusat karaoke. Kata Afifah sebetulnya bukan dia dan Aliff sahaja berada di situ tetapi juga pelakon dan kru produksi lain.

“Lokasi penggambaran dan pusat karaoke itu berada dalam jarak yang amat dekat dan memang sepatutnya terdapat pelakon lain juga akan hadir. Bagaimanapun selang beberapa minit selepas saya dan pihak sana masuk ke dalam bilik itu isterinya tiba-tiba datang.

“Soal saya tidak mahu beredar ketika diminta Bella, sebenarnya dalam keadaan itu saya ditahan Aliff yang tidak membenarkan saya keluar. Jadi apa yang boleh saya lakukan,” katanya panjang lebar.

Dalam sidang akhbar yang berlangsung di Ahmad Danial, Ruben and Co, Publika sebentar tadi,  Afifah turut memperdengarkan perbualan telefon antara kakaknya, Anzalna Nasir dan seorang kru produksi yang turut mengiyakan 'keadaan sebenar' yang berlaku.

Ditanya sama ada dia memaafkan Bella yang menyebabkan dia dikecam dalam hal ini, kata Afifah sebagai wanita dia memahami situasi isteri Aliff itu.

“Saya faham dia sebagai isteri dan ibu yang masih dalam pantang tentunya akan terkesan dengan keadaan ini.

“Memang dia ada menghantar mesej berkenaan soal ini tetapi saya juga sudah terangkan kepadanya sebab sebenar saya terpaksa berbaik-baik dengan Alif.

“Jujurnya memang saya mahu meminta maaf kepada dia kerana membenarkan Aliff memegang tangan saya... itu sahaja. Bab lain dia juga tahu apa yang berlaku sebenarnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE