Fiq atau nama sebenarnya Mohd. Firdaus Abd. Halim berkata, selepas kali terakhir tampil menerusi single solo Waktunya pada 2017, dia akui kerjaya seninya terumbang-ambing.

“Pun begitu, saya bernasib baik kerana undangan menjayakan persembahan pentas masih ada dan memperoleh pendapatan yang mencukupi untuk menyara hidup di kota raya ini.

“Lagipun saya masih bujang, belum ada sebarang tanggungan selain keluarga di kampong,” katanya yang berasal dari Sandakan, Sabah itu.

Pada tahun lalu, Fiq menjelaskan, Aepul yang merupakan komposer serta penulis lirik Selamatkan Aku memberitahunya untuk menghasilkan sebuah karya yang menggabungkan mereka bertiga.

Menyambut baik perancangan yang direncanakan oleh vokalis kumpulan Drama Band itu, Fiq teruja dengan penghasilan lagu tersebut yang dilaksanakan pada penghujung 2017.

“Menariknya, buat pertama kali tiga penyanyi yang mempunyai nada tinggi bergabung menyanyikan lagu Selamatkan Aku.

“Bukan itu sahaja, ketiga-tiga kami adalah produk kelahiran Media Prima Berhad,” katanya kepada Utusan Online.

Tambahnya, selain dia yang pernah menyertai Mentor 2 pada 2006, Aweera pula adalah finalis One In A Million musim ketiga (2009) manakala Aepul bersama kumpulannya adalah peserta akhir program Twisties Bingit Hot FM. – UTUSAN ONLINE