Bagaimanapun kalau dilihat menerusi laman sosialnya, Adrea dilihat kerap melancong ke luar negara. Mesti ada yang soal dari mana dia dapat wang, sedangkan berlakon kurang tapi sering berjalan-jalan. Itulah manusia, pantang tengok orang bahagia mesti berprasangka.

Sebenarnya pelakon filem Hantu Tok Mudim, 2 Alam, Sifu & Tongga, Kahwin 5 serta drama termasuk Elly & Epit dan 7 Gerhana itu tidak memerlukan tajaan daripada sesiapa untuk melancong kerana dia mampu melakukan sendiri. Adrea yang ditemui pada majlis pelancaran Cuti-Cuti Bersama Selebriti anjuran Xxiz Technology Sdn. Bhd., baru-baru ini mengakui ada sebab kenapa dia semakin kurang berlakon dan sering bercuti keluar negara.

“Memang saya kurang berlakon sekarang, bukan tidak ada tawaran, cuma saya yang memilih. Baru-baru ini saya muncul dalam sitkom Oh! My English sebagai tetamu. Kenapa saya setuju berlakon sitkom tu, sebab penggambarannya hanya dua hari.

“Sekarang ini saya memang berhati-hati dengan jadual penggambaran. Kalau setakat dua tiga hari penggambaran, saya terima, lebih dari itu saya terpaksa tolak. Bukan apa, saya nak pastikan masa saya lebih banyak dihabiskan dengan anak, Ahmad Syafiq yang kini berusia 10 tahun. Sebelum ini anak saya pernah tempelak saya dengan kata-kata yang benar-benar menyentuh hati saya. Dia kata, “mama ni selalu tak ada masa dengan Afiq.” Kata-kata dia itu buat saya terfikir, sampai bila saya nak biarkan anak tunggal saya itu menghabiskan masa dengan ibu saudaranya yang juga kakak saya sendiri, atau bermain gajet di lokasi kerana kadang-kadang saya juga bawa dia ke lokasi,” jelas Adrea tanpa berselindung.

Bila mengenangkan anak kesayangannya itu, Adrea lebih rela mencari pendapatan lain daripada berharap kepada lakonan semata-mata. Apa pun Adrea beruntung kerana selain berlakon, dia juga sering diberi peluang membuat suara latar untuk program dokumentari terutamanya untuk RTM dan menjadi pengacara majlis.

Selain ingin meluangkan lebih banyak masa dengan anak, faktor bayaran yang sikit juga membuatkan Adrea atau nama sebenarnya Nik Adrea Nik Abdullah kurang perhatian untuk berlakon secara serius seperti dulu.

Katanya, sejak tahun lalu lagi dia sudah mengurangkan aktiviti lakonan kerana telah menemui satu peluang pekerjaan yang pendapatannya lebih mewah daripada berlakon.

“Sekarang ini pendapatan saya dibayar dengan dolar, bayangkan kalau ditukar kepada duit kita di Malaysia? Saya bersyukur sangat kerana dapat melakukan pekerjaan yang mudah dan menghiburkan ini. Sekarang ini saya terlibat dengan bisnes pelancongan.

“Saya sertai bisnes ni sejak Januari tahun lalu. Mudah sahaja, saya perkenalkan pakej percutian ini kepada rakan dan saya dapat bayaran. Menariknya saya ada gaji bulanan. Sambil kerja, sambil cuti. Sekarang ini saya berpeluang pergi ke negara yang saya idam-idamkan. Bila saya muat naik foto percutian saya, ada yang tanya dan berminat. Siapa yang tidak suka, dapat menginap di hotel mewah,” katanya sambil tersenyum.