Isteri pertama Datuk Red, Datin Syarifah Norshafila Hassim, 30, boleh dikategorikan sebagai seorang yang prihatin pada Adira kerana turut menasihati madunya agar menjaga kandungan. Dia tak mahu sesuatu yang buruk atau tidak baik menimpa madunya itu, walaupun sebenarnya hubungan mereka tidaklah semesra mana.

Berharap Adira menjalani proses kehamilan yang baik, Syarifah atau lebih dikenali sebagai Datin Red menasihati Adira supaya mementingkan emosi diri. Ini kerana, penting buat penyanyi itu menjaga emosinya agar tidak terlalu stres. Jelasnya yang mempunyai pengalaman dalam proses kehamilan, dia yakin selain pemakanan, Adira juga perlu memastikan fikirannya dalam keadaan yang baik-baik sahaja memandangkan kandungan madunya itu baru sahaja masuk minggu ketujuh.

“Saya tahu dia mengandung ketika sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri yang lalu. Nasihat saya agar dia menjaga pemakanan dan jangan stres. Saat ini saya biasa sahaja bila tahu dia mengandung, mungkin bila ada anak nanti kami akan berkongsi perasaan yang sama,” katanya kepada HITS.

Turut diberitahu secara peribadi oleh suaminya Datuk Red atau Datuk Seri Adnan Abu mengenai berita ini. Datin Red turut tidak menolak suaminya itu juga meminta agar dia hamil semula, untuk ‘bersama-sama’ merasai pengalaman dengan madunya itu.

“Suami saya juga ada beritahu yang Adira mengandung, dalam masa yang sama minta saya juga hamil sekali. Bagaimanapun saya rasa biarlah dulu. Belum masanya untuk saya kembali mengandung,” katanya.

Sementara itu, Datin Red tidak menolak kisah yang disiarkan Utusan Malaysia baru-baru ini sekali gus menyebabkan dia dikenali. Jelasnya ketika ini juga ramai wanita yang mendekatinya untuk menyatakan perasaan kagum terhadap dirinya.

Utusan Malaysia pada 24 Julai lalu telah menyiarkan kenyataan Datin Red yang memberitahu dia sangat mengenali sikap suaminya Datuk Red. Enggan mengambil pusing masalah yang ditimbulkan suaminya itu, kata Datin Red dia lebih senang menjaga keluarga kecilnya itu dengan cara tersendiri.

Malah berkongsi cerita, Datin Red memberitahu pertama kali mengenali suaminya itu, Datuk Red hanyalah pemandu lori sayur sahaja. Melihat anak-anak sebagai kekuatan diri, dia percaya selagi jodohnya bersama Datuk Red, dia akan cuba menjadi seorang isteri yang terbaik.

Menyentuh mengenai dirinya yang kini semakin dikenali ramai ekoran kisah kehidupan poligami dengan artis popular, Datin Red menganggap itu semua secara kebetulan.

“Sebenarnya saya tidak mahu dikenali, tetapi memang tidak sangka. Bila keluar berita baru-baru ada yang mahu bergambar dengan saya. Mereka memberitahu saya adalah seorang wanita yang kuat dan sebagainya.

“Tetapi bagi saya, itu semua adalah aturan hidup yang perlu saya lalui,” katanya.

Terdahulu Adira berkahwin dengan ahli perniagaan itu sebagai isteri kedua di Songkhla, Thailand yang berlangsung pada 3 Disember 2015. Ketika ini juga, Datuk Red sudah mempunyai lima anak melalui dua perkahwinan.