Ternyata menjadi isteri kedua kepada pelakon itu menyebabkan dia dicemuh sebahagian masyarakat.

Pelbagai versi cerita yang kita dengar mengenai dirinya. Namun sepanjang tempoh setengah tahun ini dia memilih untuk mendiamkan diri.

Dalam ketenangan yang wujud dalam hubungan rumah tangga kedua Adi ini, rupanya sudah ada kocakan kontroversi yang berlaku.

Baru sahaja Utusan Malaysia melaporkan mengenai kegembiraan Adi yang bakal menimang cahaya mata pertamanya. Nampaknya khabar gembira itu diragut dengan kisah terbaharu pula.

Pendek cerita ada sumber yang memberitahu perkahwinan Adi dan isteri keduanya Shahida sudah dilanda badai, tidak cukup dengan itu, zuriat Adi yang dikandung wanita ini juga sudah keguguran.

Satu tamparan yang hebat buat pelakon ini tetapi mengenali Adi, dia lebih selesa untuk berdiam diri.

Malah ketika dilemparkan dengan pelbagai tuduhan di laman sosial, nampaknya lelaki ini lebih senang membangkitkan kemarahan yang tiada kesudahan tanpa penjelasan.

Jika ikut kenyataan yang dikeluarkan Adi pada awalnya juga memang sudah memberitahu bahawa setiap isteri-isterinya ini tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan.

Kata Adi, cukuplah dia sahaja yang bersuara mewakili dua wanita ini. Namun jika ini berterusan adakah benar Adi akan bertahan digelar suami yang gagal mendidik isteri-isterinya.

Mungkin sudah sampai waktunya ada suara lain yang akan menjelaskan keadaan ini. Kali ini isteri keduanya Shahida pula bersuara.

Sama ada benar Adi seperti yang digelar pengguna laman sosial itu, jawapannya ada pada wanita ini.

MEGA HITS: Ramai yang masih kurang jelas siapa Shahida sebelum bergelar isteri kepada Adi, boleh kongsi sedikit mengenai diri?

Shahida: Maaf saya tidak boleh bercakap soal kerjaya dalam soal ini. Namun saya akui sebelum ini saya adalah seorang ibu tunggal. Saya mengambil masa selama setahun sebelum kembali bergelar isteri kepada Adi Putra. Soal masa lalu, rasanya tidak perlu saya dedahkan kerana perlu menjaga hati beberapa pihak.

Dikecam kerana dijodohkan sebagai isteri kedua, apa yang dilalui Shahida sendiri sepanjang enam bulan ini?

Saya menjalani kehidupan seperti biasa sebenarnya. Malah Adi juga turut menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan baik kepada dua isteri.

Soal orang luar, saya tidak begitu ambil peduli. Cuma saya kena terima bila berkahwin dengan seorang pelakon, saya bersedia menerima keadaan ini. Senang cerita apa yang bermain di laman sosial itu sama sekali tidak benar.

Bagaimana hubungan dengan isteri pertama Adi, Aida Yusof yang juga madu Shahida?

Hubungan dengan kak Aida berlangsung dengan baik. Malah kami selalu berhubung, tidak ada masalah sebenarnya.

Saya lihat ada pihak yang cuba melaga-lagakan kami, itu yang saya rasa tidak patut berlaku.

Khabarnya rumah tangga sedang bergolak, boleh komen?

Apa yang dilaporkan sama sekali tidak benar, saya bahagia sebagai isteri kedua Adi. Malah sepanjang enam bulan ini tidak ada apa-apa masalah yang berlaku di antara kami.

Jadi benar, Shahida keguguran seperti yang dilaporkan?

Benar, tetapi bukan seperti yang dilaporkan sebelum ini yang mengatakan saya sudah keguguran beberapa bulan yang lalu. Sebenarnya bila suami saya dedahkan saya mengandung kepada Utusan Malaysia ketika itu saya sedang mengandung enam minggu.

Tetapi rezeki tidak menyebelahi kami apabila dua hari selepas Adi berkongsi berita tersebut saya keguguran.

Ada juga dakwaan yang mengatakan Shahida jarang bertemu Adi kerana tinggal di luar Kuala Lumpur, boleh sahkan?

Seperti yang saya katakan, hubungan kami seperti biasa. Malah ada suatu ketika dia akan ikut saya ke pasar seperti suami-suami lain. Jarang bertemu tidak benarlah, sebab dalam tempoh seminggu Adi memang akan balik ke rumah saya sebab dia tahu tanggungjawabnya.

Bagaimana hubungan dengan keluarga mentua pula?

Baik, malah ibu mentua juga sangat memberi sokongan dalam keadaan ini. Dia juga sering berulang alik ke rumah kami.

Berani untuk tampil ke depan ketika ini, kenapa dan apa harapan Shahida?

Tujuan utama saya tampil kepada media adalah untuk merungkai segala spekulasi yang berkaitan dengan diri saya.

Dalam keadaan ini saya hanya mahu bercakap soal kedudukan saya sahaja dan tidak mahu sentuh mengenai pihak lain.

Harapan saya tiada lain, moga selepas ini semua pihak dapat memberi ruang buat saya dan keluarga untuk meneruskan kehidupan seperti biasa

Hentikanlah segala spekulasi yang ditimbulkan. Akhir sekali agar peminat suami saya dapat terus menyokong kerjaya dia. - Gambar FAISOL MUSTAFA