Baru dua tahun berjinak-jinak dalam bidang lakonan bermula sebagai pelakon ekstra, Adam berbangga kerana portfolio seninya semakin berkembang usai memenangi DFKL2017 yang disertainya April lalu.

“Kini saya berada di Rom untuk membintangi drama Ti Amo Sweetheart 100 Hari arahan Michael Ang di samping dua pelakon utamanya, Zul Ariffin dan Neelofa.

“Sejak menjejakkan kaki di sini pada Ahad lalu, semalaman saya menangis kerana tidak pernah menjangkakan akan berpeluang ke sini,” katanya yang berasal dari Jeli, Kelantan itu.

Ketika dihubungi menerusi WhatsApp, Adam memberitahu selama ini dia menyimpan hasrat untuk melawat Rom, kota yang penuh dengan sejarah itu.

Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, Michael Ang yang dikenalinya pada Januari 2017 melamarnya untuk membintangi drama tersebut yang akan bersiaran di Astro Ria kelak.

“Rasa diri ini sungguh kerdil. Apatah lagi barisan pelakon yang terlibat dalam drama ini adalah nama-nama besar dalam industri lakonan tempatan,” katanya.

Tambah Adam, dia akan menggunakan peluang pertama kali berlakon di bawah Michael untuk menimba pengalaman sebaik-baiknya.

Dia juga berterima kasih kepada semua pihak yang banyak menyokong sementelah membabitkan diri dalam dunia seni.

Selain Zul Ariffin dan Neelofa, pelakon yang turut terlibat ialah Scha Alyahya, Elvina Mohamad, Fahad Iman dan Syerinie Myra. - UTUSAN ONLINE