Cuma, barangkali kerana masing-masing pernah melalui episod yang gagal dengan pasangan sebelumnya, maka perkahwinan ini berjalan hanya dalam pengetahuan keluarga terdekat.

“Tidak ada rahsia, tidak ada sedikit pun niat untuk sembunyi kisah perkahwinan ini. Saya juga tidak malu untuk menyatakan ini perkahwinan kelima saya. Kami bernikah hanya untuk keluarga terdekat kerana memang suami memilih untuk tidak terlalu menguar-uarkan cerita perkahwinan kami pada waktu itu,” beritahu Shima tentang perkahwinannya dengan lelaki bernama Abdullah Rusli.

Hanya beberapa bulan ini khalayak diberitahu Shima sudah kembali bergelar isteri. Empat perkahwinan terdahulu lenyap ditelan badai dan penyanyi Teringin ini menganggap perkahwinan kali ini adalah sebagai pelengkap kehidupannya.

Sejujurnya, selepas bercerai dengan suami keempat yang juga warga Kanada pada 2012, dia sudah tidak mengharap kepada sebuah perkahwinan. Tetapi takdir Allah SWT itu indah, sejauh mana pun lari daripada lelaki, akhirnya dia memilih untuk menerima lamaran suaminya sekarang.

“Selepas empat kali berkahwin, memang saya fikir sudah tidak mahu lagi berkahwin, mahu terus hidup sendiri sahaja kerana sudah biasa begitu. Saya juga fikir, setelah empat kali bernikah dan masih juga gagal, barangkali sudah tidak ada lagi cinta yang ada untuk saya.

“Tetapi akhirnya Tuhan bagi juga jodoh kepada saya dan ini adalah takdir kehidupan. Saya fikir, tentu ada sebab kenapa Tuhan menjodohkan kami yang masing-masing pernah gagal dalam rumah tangga sebelum ini,” katanya lagi yang kini sudah mencecah usia 49 tahun.

Apa yang paling mengharukan Shima adalah kesediaan lelaki yang dipanggil ‘Abang’ itu menerima keadaan dirinya. Sudahlah dia sekitar lapan tahun lebih berusia, ditambah dengan keadaan kesihatan diri yang semakin terjejas ekoran masalah saraf dan slip disc, Shima terharu kerana masih diberikan peluang menabur bakti sebagai isteri.

“Sebab itu saya rasa amat terharu dan menerima lamaran dia. Walaupun setelah tahu saya ada penyakit tulang belakang dan saraf, saya tidak boleh buat banyak benda di rumah macam isteri-isteri yang lain.

“Tetapi, dia terima juga saya seadanya dan bersedia untuk bersama-sama dalam susah dan senang kami. Jadi, sekurang-kurangnya ada teman di rumah dan Insya Allah dia akan jaga saya sampai ke hari tua kami,” katanya lagi.