Malah si genit bernama Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin boleh dianggap angkatan muda yang tahu fokusnya dalam bidang yang diceburi.

Berasal dari Bangi, Selangor, gadis berusia 22 tahun ini bukan sahaja sedang mekar dalam bidang muzik tetapi turut mengembangkan potensi diri sebagai pelakon apabila diberi peranan utama dalam telemovie dan drama bersiri, Dee yang pernah bersiaran di Astro Ceria.

Merupakan anak kedua kepada novelis terkenal, Samsiah Nohd Nor, Daiyan yang mesra dipanggil Dee ini mengakui, menjadi anak kepada Samsiah juga merupakan satu tuah buat dirinya namun itu bukanlah jalan pintas untuk mencipta populariti.

Mewarisi bakat ibunya dalam bidang penulisan namun Dee lebih senang mencurah idea dan kreativiti dalam bentuk penulisan lirik lagu malah memang menjadi angan-angan sejak di bangku sekolah untuk berkongsi karyanya dengan khalayak.

“Pada usia 16 tahun saya sudah berkongsi cerita peribadi di blog dan memuat naik video nyanyian di YouTube.

“Tak sangka, selepas memuat naik beberapa video, saya mendapat undangan membuat persembahan di merata-rata tempat sehinggalah pihak Astro menawarkan kontrak dan diberi peluang menghasilkan lagu tema telemovie Dee, Kerana Kau,” katanya.

Detik di hati

Melihat kepada potensi dirinya untuk mampu pergi jauh dan tidak mustahil dijulang sebagai satu nama besar menerusi bakat yang dimilikinya, Dee sedar dalam kesempurnaan yang dimiliki itu, ada kekurangan yang terpaksa diterima dengan hati terbuka.

Berkongsi rasa, kata Dee, dalam arus glamor dan populariti yang semakin dikecapinya kini, dia sedar golongan lelaki semakin menjauhi dirinya kerana energinya sebagai seorang wanita yang mampu berdiri di atas kaki sendiri.

Menyifatkan dirinya sebagai seorang gadis yang berdikari, kata Dee, dia merasakan keadaan itu barangkali ada kaitan dengan ego seorang lelaki.

“Saya tak takut tetapi lelaki yang takut untuk mendekati saya. Mereka fikir saya ini terlalu berdikari. Mungkin apabila mereka melihat perempuan lebih maka mereka rasa tercabar.

“Sebab itu saya tak boleh berikan fokus saya kepada lelaki ketika ini. Buat masa sekarang, keluarga, pengajian dan kerjaya adalah keutamaan saya. Tetapi kadangkala, terdetik juga di hati, kenapa ya, lelaki sering rasa tercabar dengan wanita yang bekerjaya?

“Itu juga menjadi punca mengapa saya dengan bekas kekasih saya berpisah pada awal tahun lalu. Dia barangkali kurang memahami kerjaya seni saya,” katanya.

Sambil mengakui senang berkawan dengan sesiapa sahaja, Dee memberitahu yang dia mementingkan keikhlasan dan kejujuran dalam sesuatu perhubungan.

Taylor Swift

Melihat kepada minatnya yang mendalam terhadap penulisan lagu dan lirik, Pancaindera sengaja mengusiknya dengan pertanyaan sama ada dia ingin mencuba untuk menjadi seperti penyanyi, Taylor Swift.

“Saya sangat meminati Taylor! Ya, saya memang mendapat ilham daripada dia malah menjadi idola saya. Taylor bagi saya adalah antara penyanyi popular yang berjaya pada waktu ini.

“Bagi saya dia genius, mempunyai identiti tersendiri dan bijak mencari transisi muzik dan gaya dalam bidang seni sehinggalah mencipta banyak kejayaan dan merangkul pelbagai anugerah.

“Saya juga berharap satu hari nanti dapat menjadi seperti Taylor,” katanya teruja.

Meski menaruh minat yang mendalam terhadap karya Taylor, Dee bagaimanapun menegaskan tidak meniru gaya dan karya penyanyi pujaannya itu biarpun ada mendakwa lagu-lagu yang dihasilkan kedengaran seperti lagu Taylor.

“Saya bukan cuma mendengar lagu Taylor. Kebanyakan lagu saya, tak dinafikan, sedikit sebanyak ada kedengaran seperti karyanya tetapi tidaklah sampai saya meniru.

“Bagi saya, tidak salah untuk kita cuba mengadun muzik yang kita dengar sebagai sumber inspirasi ketika menghasilkan lagu sendiri kerana mengambil aura positif daripada sumber-sumber itu bukanlah satu kesalahan.

“Kita jadikan mereka sebagai inspirasi dan kemudian cuba hasilkan karya yang asli, itu juga bukan satu kesalahan. Contohnya, saya tak boleh hasilkan lagu genre black metal sebab saya memang bukan peminat genre itu.

“Seperti saya mendengar lagu Taylor, saya suka, tidak pula bermaksud saya tiru karya dia. Menjadikan dia inspirasi bukan bermaksud meniru,” tegasnya.

Luahan hati

Bercerita lanjut, kata Dee, selain meminati nyanyian, penulisan lirik begitu dekat dengan jiwanya dan merupakan medium yang kerap digunakan Dee untuk melakar dan mencurah segala isi hati dan emosinya.

“Setiap kali menulis lirik, saya rasa lega kerana dapat mencurah semua rasa isi hati di dalamnya.

“Tidak sahaja berkaitan cinta, saya juga tertarik untuk menulis mengenai perkara yang berlaku di sekeliling saya.

"Pendek kata, semua emosi itu akan disalurkan sepenuhnya kepada lirik dan muzik yang saya hasilkan.

“Saya buat lagu untuk orang dengar dan kalau ada terkait dengan mereka, saya rasa bangga sebab seolah-olah dapat memahami dan berkongsi perasaan yang sama dengan pendengar,” katanya lagi.

Menganggap dirinya umpama seorang penglipurlara yang menghiburkan orang ramai dalam cerita di sebalik lirik, lagu dan nyanyian, kata Dee, itu satu-satunya cara untuk dia membuktikan bahawa setiap karyanya datang dari hati yang tulus.

“Boleh dikatakan, kebanyakan lagu yang saya hasilkan datangnya dari hati.Saya tulis dan hasilkan dengan sepenuh jiwa. Sebab itu saya begitu menjiwai karya saya ketika menyanyi,” katanya yang kini sedang menghasilkan single ketiga selepas Kerana Kau dan Jatuh.