Sejak kemunculannya dalam komedi lawak pada era 1980-an dia sering memainkan watak lelaki Jawa dalam persembahannya sehingga ramai di kalangan peminat yang menyangkakan dia adalah orang Jawa.

Bercerita mengenai kehidupannya, menurut Abon, persekitaran tempat tinggal nya ketika kecil dahulu di Kampung Pekan Baru Parit Yusof, Batu Pahat, Johor yang membawanya memasuki komuniti masyarakat tersebut.

Semasa umur lapan tahun, kami sekeluarga berpindah ke Batu Pahat kerana mengikut ayah yang bertugas sebagai tentera. Di situlah saya mula bercampur dengan orang Jawa.

“Bayangkanlah di dalam kelas hanya saya seorang sahaja murid luar. Mula-mula memang tak berapa faham dialek mereka tapi lama kelamaan saya pun terbiasa dan boleh mengikut loghat mereka,” ujar bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Semerah Batu Pahat, Johor.

Mengimbau kenangannya ketika di kampung dahulu, Abon masih tidak dapat melupakan betapa eratnya hubungan nya bersama jiran-jiran sehingga kan dia turut memiliki keluarga angkat di sana.

“Masa saya banyak dihabiskan dengan mereka. Ingat lagi ketika itu tak ramai rumah yang memiliki televisyen kalau nak tengok pun kena bayar 10 sen mengikut tempoh. Oleh kerana rumah saya ada televisyen, jadi ayah akan bawa ia keluar dan kami akan tengok beramai-ramai bersama jiran.

“Suasana ketika itu sangat seronok dah macam tengok wayang. Keakraban waktu itu membuatkan saya tidak dapat melupakan momen tersebut sehingga ke hari ini,” ujar lelaki berusia 57 tahun ini.

Tambahnya lagi di kampung tersebut juga dia belajar cara hidup kampung yang sebenarnya sehingga watak tersebut mampu dibawanya dengan berkesan dalam bidang lakonan.

“Jika sebelum ini kami sekeluarga menetap di kawasan bandar tapi bila sampai di Batu Pahat semuanya berubah. Di sini saya mula belajar tanam padi, mengenali pokok-pokok hutan dan merasai suasana di bendang,” ujarnya.

Menginjak ke usia remaja, dia mula mencari duit belanja persekolahan dengan menjual sayur-sayuran kampung di pasar untuk membantu ayahnya.

“Saya kasihan melihat ayah. Waktu itu gaji ayah RM180 sahaja kami pula 10 beradik jadi saya fikir tak nak sudahkan ayah jadi saya jual sayur-sayuran kampung seperti pucuk paku, pucuk ubi dan kangkung yang saya petik di hutan,” ujarnya yang turut menjual ais krim ketika itu.

Jadi maskot

Selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia sekeluarga mengikut ayahnya berpindah ke Kuala Lumpur.

“Saya bernasib baik kerana tamat sahaja SPM saya berjaya mendapat pekerjaan sebagai penyelenggara pejabat. Dengan gaji sebanyak RM370 sebulan, saya berasa sangat bersyukur.

“Setahun bekerja saya mendapat pekerjaan di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur sebagai kerani pula. Masa tu rasa gembira sangat sebab gaji lebih besar.

“Di situ saya diletakkan di bahagian buku dan sering terlibat dengan majlis pelancaran buku dan bahagian pementasan teater. Dari situ jugalah saya mula berjinak-jinak dalam bidang teater jika ada kelapangan,” tutur nya.

Katanya lagi, sewaktu itu dia ditugaskan sebagai ahli Kumpulan Kenari yang merupakan salah satu ruangan dalam majalah Dewan Pelajar yang popular ketika itu.

“Tugas saya dan kumpulan adalah memperkenalkan sistem Majalah Dalam Darjah (MDD) yang merupakan sistem baru untuk mewujudkan rasa teruja murid-murid sekolah rendah untuk belajar.

“Dengan memakai maskot kami akan masuk ke dalam bilik darjah untuk satu tempoh waktu dan akan mengajar murid-murid bercerita, teka-teki, lukisan dan sebagainya dengan kaedah baru tersebut.

“Sejak diperkenalkan, sistem tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan sehinggakan saya dan kumpulan terpaksa mengajar bakal-bakal guru di maktab seluruh Negara dengan pendekatan tersebut,” katanya.

Untuk memantapkan lagi ilmu pengetahuan nya dalam bidang maskot tersebut, dia dihantar ke Jepun untuk mendapatkan sijil Kursus Psikologi dan Sastera Kanak-kanak selama enam bulan.

“Masa tu Jepun merupakan negara yang terkenal dengan maskot ini. Namun sesudah pulang ke sini, saya ditukarkan ke bahagian kewangan pula. Kecewa dengan situasi tersebut saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan pada tahun 1995,” ujarnya.

Dari penggiat teater ke pelakon

Sebaik berhenti kerja, saya mula aktif dengan teater. Ketika itu saudara Johan Jaafar (kini Tan Sri) yang merupakan penerbit teater mengambil saya berlakon dalam teater arahannya.

“Kalau tak silap saya drama tersebut berjudul Mahkamah Keadilan. Ramai yang datang menyaksikan teater tersebut kerana ia dipentaskan ketika majlis besar yang melibatkan golongan ternama.

“Bermula dari situlah saya mula aktif bergerak ke seluruh Negara bersama kumpulan teater untuk membuat persembahan. Sempena Asian Teater Festival yang berlangsung di Filipina kami turut membuat persembahan itu.

“Nak dijadikan cerita, saudara Othman Hafsham yang merupakan salah seorang penerbit popular ketika itu ingin mengambil saya berlakon dalam teater Hari Terakhir Seorang Seniman.

“Saya diberikan watak sebagai orang kampung. Itulah lakonan pertama saya dalam televisyen dan dari situ jugalah saya diberi nama Abon. Sementara rakan seangkatan saya Sabri Yunus pula diberi nama panggilan Wan Ismail Golok,” tutur nya.

Sejak daripada itu dia mula diberi tawaran memainkan peranan dalam sitkom popular ketika itu. Antaranya Kampung Seri Wangi dan 2+1 bergandingan dengan Imuda, Mak Mah dan ramai lagi. Sitkom-sitkom tersebut mendapat sambutan hebat dan namanya mula popular ke seluruh Negara.

“Sebagai pelakon komedi, skrip memang sudah ada tapi kerana terlalu seronok berada dalam watak tersebut sehingga kita dengan sendirinya akan mencipta skrip secara spontan. Sebenarnya itu yang membuatkan ia nampak semula jadi dan penonton geli hati,” ujarnya lagi.

Lebih 30 tahun terlibat dalam bidang seni, dia sudah pun berlakon beratus-ratus sitkom, berpuluh drama dan beberapa filem antaranya Riang Tirana, Panas, No problem, OMK!, Bawang Putih Bawang Merah (animasi), Toyol, Orang Minyak dan banyak lagi.

Kemunculannya pada tahun 2005 dalam video muzik lagu KRU ’Terhangat di Pasaran’ membuatkan dia kembali popular dan sering dirujuk menerusi gaya lucunya dalam video muzik tersebut.

“Bermula daripada mencuba akhirnya saya benar-benar jatuh cinta dengan industri ini. Namun di usia sekarang saya tidak lagi terlibat dalam bidang lakonan namun masih aktif dalam persembahan dan sebagainya,” ujar duta EZQurban ini.

Pada tahun 2011, dia bersama kumpulannya, Osbon pernah dinobatkan sebagai johan Maharaja Lawak Mega dan berjaya memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM350 000 dan sebuah trofi.