Petang semalam, Uchop melancarkan single terbaharunya iaitu yang ketiga berjudul Abadi Kasihku.

Menurut Uchop, lagu Abadi Kasihku ciptaan Joe dari kumpulan Slash dan ia menjadi potfolio terbaharu bagi dirinya untuk terus melangkah di persada seni tanah air.

"Saya perlu kuat dan berusaha gigih dan tidak boleh mengaku kalah kerana kehadiran saya dalam industri hiburan Malaysia bukan kerana mengejar populariti sebaliknya atas dasar bakat yang ada dalam diri saya.

"Biar apa pun orang di luar sana nak kata, saya terima secara positif. Lagipun saya beranggapan diri saya masih banyak yang perlu belajar terutamanya daripada orang lama atau otai-otai yang lebih dahulu berpijak atas platform seni dan hiburan," kata Uchop kepada wartawan Utusan Online ketika ditemui usai persembahan memperkenalkan single terbaharunya itu di The Garage, Jalan Ampang, semalam.

ABADI KASIHKU UCHOP
 

Walaupun Uchop terpaksa mengambil masa sebelum melahirkan single Abadi Kasihku, beliau mempunyai jawapan yang tersendiri.

"Sebagai penyanyi, biarlah lagu-lagu yang dirakamkan itu berkualiti. Kita lihat contoh penyanyi seperti Aishah yang tetap unggul dengan lagu Janji Manismu. Lagu itu memang kuat sangat-sangat auranya.

"Sama seperti lagu Isabella yang diterima dari generasi terdahulu sehinggalah ke generasi hari ini dan saya mahu menjadi seperti itu," jelasnya.

Kata Uchop lagi, beliau sanggup lakukan apa sahaja termasuk menjadi badut walaupun ada segelintir yang memandangnya dengan satu pandangan skeptikal.

"Hari ini, semua perlu viral atau tular dan kuasa viral itu di media sosial mesti digunakan sebaik yang mungkin supaya peminat dan orang di luar sana terus ingat Uchop Ahmad masih ada, masih relevan.

"Cuma saya tidak akan layan komen yang bukan-bukan atau komen yang tidak memberi sebarang kebaikan untuk karier seni saya. Biarlah orang nak kutuk-kutuk saya mengatakan saya meniru Datuk Awie.

"Bagi saya, teguran secara baik, saya terima dengan tangan yang terbuka dan berlapang dada," kata Uchop.

Dalam tempoh seminggu muzik video Abadi Kasihku dimuat naik ke platform YouTube, ia berjaya mendapat tontonan 50,000 penonton.

Kata Uchop, itulah kuasa media sosial yang positif dan beliau akan berusaha untuk meningkatkan lagi jumlah penonton sehingga mencecah 1 juta.

Dalam masa yang sama, Uchop juga berkata, beliau bertuah kerana dipilih oleh komposer lagu Bisa Pertama, Bayeng Black untuk menjayakan Special Project Bisa Pertama bersama Irwan Mentor Otai.

"Ya, inilah rezeki dan peluang yang tidak akan saya tolak. Bersama Irwan Mentor Otai, kami akan jalan seiring untuk Special Project Bisa Pertama," katanya.

Malam ini, Uchop dan Irwan akan berduet menyampaikan lagu Bisa Pertama versi baharu dengan sentuhan muzik Bisa Pertama yang baharu oleh Oja di Persembahan Artis-Artis Lagenda 90an bertempat di Hotel EDC Jalan Raja Laut, dekat sini. - UTUSAN ONLINE