Aaron Aziz akui alami kesakitan di bahu kiri akibat penyakit saraf.

Mula menghidapinya sejak 2012, Aaron yang ditemui hari ini berkata, penyakit itu menjadi lebih serius sewaktu dia mahu mendukung anaknya pada awal tahun ini sehingga menyebabkan bahu dan tangan kirinya berasa kebas.


“Saya mula perasan dengan penyakit ini ketika mengacarakan program realiti Fear Factor Malaysia musim pertama dan pada awalnya cuma menganggap lenguh-lenguh biasa.


“Lama kelamaan kesakitannya semakin terasa setiap kali saya mengangkat barang berat. Selepas berasa kebas waktu saya mendukung anak, terus isteri saya bawa ke hospital untuk membuat rawatan.


“Doktor menasihatkan saya lakukan pembedahan untuk memperbetulkan urat-urat yang telah tersepit tetapi buat masa ini saya lebih rela bergantung dengan ubat yang dibekalkan bagi mengurangkan rasa sakit,” katanya kepada UTUSAN ONLINE.


Pada masa yang sama, Aaron mengakui dia tidak sukakan suasana berada di dalam hospital dan takutkan jarum apatah lagi pembedahan yang menggunakan pisau.


“Bagaimanapun mungkin saya akan pertimbangkan semula mengenai pembedahan tersebut selepas didesak oleh isteri dan rakan-rakan. Lagi pun demi kesihatan saya juga,” tambahnya.


Walaupun sedang berhadapan dengan penyakit tersebut, Aaron tidak menghentikan aktiviti lakonannya cuma mengurangkan aksi lasak sahaja.


Pelakon KL Gangster itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis lelongan pakaian Jakel di sini hari ini. - utusan online