Bukan satu atau dua filem yang dibintangi gagal mendapat kutipan memberangsangkan tetapi kandungan sesetengah filem yang melibatkan dirinya kurang berkualiti sejak dahulu lagi.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Aaron tidak menafikan perkara tersebut tetapi pada yang sama menganggap itu merupakan pengalaman dan pengajaran paling berharga sepanjang bergelar pelakon.

“Memang tak dinafikan saya banyak buat kerja kerana tolong kawan-kawan. Orang minta tolong takkan saya tak bantu walau pun produk yang dihasilkan kurang bermutu.

“Sebab itu ada filem yang mendapat sambutan hebat dan ada juga yang kecundang. Tak apalah, semua itu pengajaran juga buat saya. Selepas ini saya berharap agar tak ada lagi kes macam itu,” luah Aaron kepada Pancaindera.

Buat masa ini Aaron menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada pihak pengurusan Astro untuk menilai terlebih dahulu filem atau drama sebelum menerima sesuatu tawaran.

Dia yang juga merupakan Artis Pengurusan Astro mengakui tidak mahu lagi terlibat dalam naskhah tangkap muat yang akan menjejaskan namanya.

“Bukan soal cerewet atau terlalu memilih yang menjadi isu besar. Cuma pada tahap ini saya mahu melihat dahulu skrip yang ditawarkan.

“Saya tahu dalam kerjaya kena memilih untuk kepuasan sendiri. Saya tak mahu memuaskan hati orang lain tetapi saya sendiri tak rasa seronok,” luah bapa kepada tiga orang anak ini lagi.

Mengulas lanjut mengenai filem Kriptik - Romeo Kota, filem pertama arahannya di bawah produksi Excellent Picture Sdn. Bhd. pula, Aaron masih menunggu masa yang sesuai menanti tayangan umum.

Jika ada yang masih ingat buah tangan sulungnya yang dibuat pada April tahun lalu dilanda kontroversi apabila produksinya diserbu oleh Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) kerana isu pendaftaran.

Berang dengan cara mereka menyerbu lokasi penggambaran, dia akhirnya memuat naik sekeping gambar resit pembayaran sebagai ahli FDAM yang sah kepada umum.

“Sebenarnya filem itu sudah siap lama cuma saya masih membuat beberapa suntingan dari semasa ke semasa. Bukan apa... apabila tengok sekali ada timbul rasa tak puas hati lantas saya akan sunting lagi.

“Tambahan pula Ahmad Idham selaku penerbit sudah menetap di Johor Bahru, Johor menjadikan saya ada banyak masa untuk memperbaiki mana-mana yang kurang.

“Rasanya tahun ini bukan masa yang sesuai untuk menayangkan filem itu. Sebagai pengarah saya berharap bakal ditayangkan pada awal tahun hadapan. Kena tengok juga corak pasaran semasa,” jelas Aaron lagi.

Selain Aaron, filem berkenaan juga dibintangi oleh Nabil Ahmad dan Hanis Zalika.