WAJAH terbaharu Siti Nurhaliza sambil mendukung bayinya yang dimuat naik dalam laman Instagram beliau, @ctdk 15 minit lalu.

Penghargaan beliau tiga beranak itu tidak hanya buat rakyat Malaysia, sebaliknya kepada peminat-peminatnya dari Indonesia, Singapura dan Brunei yang selama ini menjadi tulang belakang kejayaannya.

Siti Nurhaliza, 39, turut berterima kasih kepada rakan-rakan artis yang menitipkan ucapan tahniah buatnya.

Dalam status yang dimuat naik dalam laman Instagram beliau 15 minit lalu, penyanyi lagu Jerat Percintaan dan Cindai ini juga memberitahu, beliau dan anaknya berada dalam keadaan yang baik.

“Alhamdulillah, saya dan anakanda dalam keadaan baik, pihak doktor dan jururawat menjaga kami dengan baik. Terima kasih juga kepada semua pihak yang mengirimkan hadiah sehingga ke hari ini,” katanya yang turut memuat naik foto bersama Fatimah dalam Instagramnya.


Pengibur kesayangan ramai itu dikurniakan cahaya mata perempuan yang diberi nama sementara Fatimah Az-Zahra di sebuah hospital swasta di ibu negara Isnin lalu.

Bayi 1 Rejab yang dilahirkan penyanyi nombor satu negara itu mendapat liputan meluas daripada media tempatan memandangkan beliau dan suami begitu bersabar menanti kelahiran anak sulung selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga.

Siti Nurhaliza dan Khalid juga bakal mengumumkan nama permata hati mereka dalam masa terdekat. - UTUSAN ONLINE