Sebelum ini dia sudah memiliki dua puteri iaitu Naira Mikayla, 7, dan Leyla Medyna, 4.

Mengakui dia kini mempunyai amanah dan tanggungjawab yang lebih besar dalam membesarkan ketiga-tiga mereka apatah lagi kesemua anaknya adalah perempuan.

“Nak jaga anak perempuan bukan mudah. Bila sudah ada tiga puteri, apa yang saya tahu orang kata kaki ini sebelah sudah masuk kawasan nak berjiran dengan Nabi Muhammad SAW.

“Untuk menjaga amanah Allah ini kena betul-betul bersedia.

 

“Sejujurnya saya sangat takut kerana dunia sekarang sangat mencabar. Sebab itu untuk Mikayla dan Medyna, saya sudah rancang untuk masukkan mereka ke sekolah agama swasta.

“Dengan cara ini saya cuba mengajar anak perempuan menjadi solehah dan terbaik. Jika kita hendak dekatkan diri mereka dengan Allah, kena tahu cara yang betul,” ujar pengacara MeleTop ini.

Kata duta Jakel ini juga, demi mengelakkan anak-anaknya terlalu terdedah kepada media sosial, dia ‘mengharamkan’ penggunaan gajet dan alat eletronik.

Biarpun pernah diminta isterinya untuk memberikan anak sulung mereka telefon bimbit agar mudah dihubungi ketika di sekolah, Nabil, 34, tetap tidak membenarkannya.

“Saya ada komputer riba yang ada YouTube Kids untuk mereka tengok hanya pada Sabtu dan Ahad. Hari-hari lain mereka pergi sekolah dan mengaji. Pukul 9 atau 9.30 malam masuk tidur dan pukul 6.30 pagi sudah bangun pergi sekolah.

“Itu yang saya terapkan buat mereka. Tiada telefon bimbit, Instagram mahupun Facebook. Mereka hanya tahu aplikasi TikTok kerana anak-anak rakan datang ke rumah dan masa itu baru mereka boleh tengok.

“Pada saya, kandungan media sosial sekarang sangat merisaukan kerana kita boleh tengok apa sahaja dan di mana-mana tanpa tapisan,” katanya.

Lebih menakutkan Nabil apabila dia sendiri pernah ternampak kandungan bahan lucah dalam Instagram. Perkara tersebut membuatkan dia fobia.

“Tak mengapa jika orang kata anak saya ketinggalan sedikit mengenai media sosial kerana pada saya perkara tersebut tidak penting buatnya lagi.

“Pada usia Mikayla sekarang dia harus belajar mengeja, mengira dan membaca serta tahu tentang tatatertib. Itu lagi utama,” ujar Nabil yang akan menunaikan umrah pada 26 Mei ini.