Dalam jutaan kejian yang diterima oleh Ustaz Hamadi, sebenarnya dari sisi lain ia adalah lambakan pujian kepada mutu lakonan anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor ini.

Biarpun ramai mengatakan watak dibawanya itu sedang membunuh dua watak utama lakonan Syafiq Kyle dan Amyra Rosli, Azhan Rani bagaimanapun berkata, itu semua sudah dirancang oleh

 

pengarah Nur 2, Shahrul Ezad.

“Kalau dikatakan watak saya lebih mencuri perhatian berbanding dua watak utama, itu memang tidak dijangka.

Namun antara kami dalam produksi, masing-masing sudah sedia maklum yang watak Ustaz Hamadi akan diperkembangkan dalam Nur 2 supaya jahatnya dilihat berlebihan.

“Kejahatannya sama dengan kebanyakan watak lain, makan rasuah, kaki pelacur dan pukul isteri. Namun ia dilihat melampau apabila Hamadi daripada kumpulan yang dianggap warak.

Mungkin berbanding dengan watak lain mereka kelihatan lebih naïf dan sering menjadi mangsa, maka watak saya sebagai pemangsa lebih diperhatikan,” jelas Azhan ketika ditemui dalam sidang akhbar Setulus Ikhlas TV3 di Petaling Jaya.

Menjelaskan dia teruja membaca setiap komen dan luahan peminat menerusi laman sosial miliknya, menurut Azhan lagi, ada antara mereka yang berani mengugut untuk membunuh lantaran tidak tahan melihat kejahatan Ustaz Hamadi.

“Segala kecaman sudah saya jangka. Musim lepas pun perkara begini berlaku. Yang ugut itu, saya faham dia marah pada Hamadi, bukan saya.

“Watak Hamadi begitu dikecam tapi kalau watak itu tidak keluar mereka marah juga. Saya rajin membalas mesej mereka, saya suka mereka memberikan respon pada lakonan saya kali ini,” jelas Azhan.

Biarpun penonton bagaikan terkena ‘demam’ Ustaz Hamadi, namun Azhan berharap selepas ini tiada lagi lanjutan buat drama ‘berhantu’ ini.

“Sebenarnya tidak perlu Nur 2, cukuplah Nur yang lepas. Saya harap penonton segera move on. Saya tidak mahu momen dalam Nur hilang sekiranya drama ini diperkembangkan lagi,” jelas Azhan.