Namun baik Ayda Jebat mahupun Redza Rosli, hubungan yang terjalin sukar untuk dibingkaikan dengan kata-kata. Jujur dari mata kasar penulis, ada elektrik cinta yang bersambung antara mereka.

Cuma tidak berani untuk kita mengiyakan atau menafikan. Kita hanya mampu melihat dan membuat tafsiran sendiri. Sama ada bercinta atau hanya berkawan, jawapannya ada kepada mereka.

Bersua bicara dengan dua pelakon Ku Kirim Cinta ini, baik Ayda mahupun Redza bagaikan menyimpan rahsia yang sukar untuk diluahkan.

Membuka gelanggang cerita raya, Ayda masih teringat kemeriahan beraya di kampungnya, Melaka bersama-sama sanak saudara jauh dan dekat. Gema riuh rendah masih terngiang-ngiang pada halwa telinganya. Masakan tidak, masing-masing masih kecil dan berapi jiwa nakalnya. Habis sekampung dijelajah. Puasa atau tidak, semua bermain sakan. Itu yang masih melekat dalam kotak ingatan Ayda.

“Dulu kalau balik kampung memang meriah. Dapat berkumpul dengan sepupu. Ingat lagi, kami kalau berkumpul ada sahaja aktiviti gila yang kamu buat. Ada sekali kami buat pertandingan menyanyi.

“Masing-masing konon membuat persembahan dengan lagu raya masing-masing. Ada juga yang nyanyi lagu Cindai. Saya ketika itu jadi juri, jadi pemenangnya saya yang tentukan.

“Memang tak akan lupa sampai bila-bila. Sekarang apabila masing-masing sibuk, masa berkumpul itu digunakan dengan sebaik mungkin. Takkan nak persia-sia pula,” kata penyanyi yang bakal beraya di Melaka ini.

Beralih kepada Redza, soalan cepumas lantas ditanya. Adakah tahun ini dia bakal beraya di rumah teman tapi mesranya itu? Siapa tahu, boleh bersuai kenal dengan ahli keluarga.

Tidak mahu terus menjawab, dia memandang Ayda yang duduk malu di sebelahnya. Entah apa yang dibincangkan oleh kedua-dua pelakon ini menggunakan isyarat mata. Malu agaknya untuk menjawab.

“Saya sebenarnya suka raya jauh-jauh. Raya pun memang suka berseorangan. Kampung di Kuala Lumpur jadi nak ke mana sahaja, kan. Nak ke Melaka (rumah Ayda) itu, tak pasti lagi.

“Kalau ada kesempatan, tidak sibuk apa salahnya. Kita mengeratkan hubungan silaturahim sesama umat,” katanya yang sudah lapan tahun menyambut lebaran sebagai anak seni.

Ditanya apakah kenangan raya paling bermakna dalam lembaran sejarah hidup Redza, pelakon yang juga seorang model ini mengakui tak lengkap raya kalau tidak ada mercun.

“Saya memang suka main mercun, lagi kuat lagi seronok beraya. Dulu selalu saya sumbat mercun dalam ekzos kereta orang. Tapi itu zaman nakal, sekarang tak buat kerja macam itu lagi,” selorohnya.

 

 

 

Ayda buka sisi berbeza Redza

Entah berapa kali ditanya tentang cinta namun tidak sesekali Redza terlihat jelik mahupun bosan. Setiap pertanyaan dibalas dengan tenang, gaya seorang anak seni profesional.

Sesekali dia menjeling manja Ayda yang duduk di sebelahnya. Bagaikan menanti jawapan ‘talian hayat’ daripada gadis kecil molek itu. Entah apa yang berlegar di fikiran pelakon Seindah Takdir Cinta itu.

Terpacul pada mulut lelaki sasa ini, Ayda telah membuka sisi berbeza yang selama ini terpendam dalam diri. Bagaikan mereka melalui satu dimensi peribadi yang belum pernah diterokai.

“Sebelum ini kami pernah bekerjasama tetapi saya hanya pelakon tambahan ketika itu. Drama Ku Kirim Cinta ini adalah gandingan pertama kami. Saya sebenarnya seorang yang pemalu dan juga pendiam.

“Ayda ini pula seorang yang ‘gila-gila’. Jadi apabila saya dengannya, saya jadi lebih ceria. Macam dia ada jumpa ‘butang’ yang perlu ditekan untuk membuka sisi lain saya,” katanya yang juga duta kempen Terima Kasih TV3 dengan Ayda.

Redza juga menjelaskan dia sentiasa bersikap profesional dan memberi yang terbaik untuk dramanya.

Sedikit sebanyak, tempias ‘kisah cinta’ yang tersebar memberi tempias kepada kerjaya seninya,

Istilah menumpang populariti baginya hanyalah satu isu basi. Kejayaan yang diraih adalah daripada keringatnya bermula dari bawah sebagai pelakon sampingan.

“Mesti saya rasa tempiasnya. Peminat Ayda mesti akan sokong setiap drama dia.

“Jadi sedikit sebanyak, mereka juga akan mengenali dan menyokong saya sebagai hero drama itu.

“Kalau hendak cakap saya baharu dan tumpang populariti dia, saya sebelum ini bekerja di belakang tabir dan jadi pelakon sambilan. Mungkin baru sekarang orang kenal saya.

“Padahal saya sudah lalui macam-macam dalam industri. Masing-masing ada cara kerja sendiri.

“Setiap komen peminat kita ambil secara positif. Mereka menyokong kita seikhlasnya,” jelas pemuda berusia 25 tahun ini.

 

Redza seksi pada sifat pemalunya

Acap kali pertanyaan sama diulang pakai, adakah soal menumpang populariti membebankan fikiran Ayda? Tidak mahu dibelenggu dengan persoalan sama, pelakon berusia 25 tahun ini mengambil berat bukan hanya hero dramanya tetapi dengan semua yang terlibat termasuk kru produksi.

“Jujur saya anggap isu tumpang populariti itu sebagai satu pujian. Saya bukan jaga hero sahaja tetapi semua orang. Kita kena jaga mereka supaya hasil kerja ini lebih baik apabila hubungan itu rapat.

“Saya tak boleh lari daripada gosip itu, orang solo apabila berlakon dengan hero solo memang tak dapat elak daripada dakwaan bercinta ini. Saya banyak kali berdepan dengan isu sama.

“Kalau kita jual kisah cinta, orang tak suka sangat. Saya sudah banyak kali dikaitkan dengan hero drama, sudah tiba masanya untuk jadi lebih profesional,” katanya yang bakal tampil dengan filem Pinjamkan Hatiku tak lama lagi.

Ditanya soalan panas, siapa Redza pada mata penyanyi Siapa Diriku ini, dia lantas tersipu malu. Jelasnya, pelakon lelaki itu seksi pada sifat pendiam dan malu-malu kucingnya.

“Dia pernah berjumpa ibu saya dan komen ibu, Redza ini baik orangnya. Bagi saya seksi dia adalah pada sifat pemalunya. Dia buat orang hendak dekat dan mengenali siapa dirinya yang sebenar,” katanya.

Mengenai harapan peminat yang mahu melihat mereka ‘bercinta’, Ayda berkata:

“Ya, memang peminat suruh saya bercinta dengan Redza tetapi itu hanyalah peminat drama tersebut.

“Kalau peminat sejati yang sentiasa menyokong saya, mereka tidak akan masuk campur urusan peribadi.

“Saya tak mahu jual kisah cinta, masalahnya gambar yang dimuat naik benar-benar terjadi dalam babak drama tersebut. Jadi takkan tidak mahu muat naik, bukankah itu salah satu promosi,” ujarnya menutup bicara.