Bagi penganjuran kali ini, sebanyak 41 pencalonan diterima daripada 13 penerbit novel terkemuka dengan 46 kategori yang dipertandingkan. Kesemua hasil adaptasi tersebut telah ditayangkan sepanjang tahun 2017 lalu.

Antara drama yang tersenarai ialah Hero Seorang Cinderella, Titian Cinta, Suamiku Paling Sweet dan banyak lagi. Manakala antara barisan pelakon drama adaptasi novel yang tercalon pada malam anugerah tersebut ialah Nelydia Senrose, Neelofa, Fazura, Emma Maembong, Syafiq Kyle, Remy Ishak, Alif Satar dan ramai lagi.

Sementara itu, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi popular antaranya Asfan, Syamel, Ippo Hafiz dan Firman. Malam anugerah ini dijangka dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq.

Menurut Pengerusi YPBN, Hasan Hamzah, Anugerah Telenovela tidak hanya untuk industri hiburan sebaliknya bertujuan memberi pengiktirafan kepada penulis novel dan warga kerja industri kreatif.

“Mungkin ada yang salah faham dengan kewujudan anugerah ini. Saya ingin tegaskan bahawa Anugerah Telenovela bukan sekadar hiburan.

“Sebenarnya ia juga bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada penggiat industri kreatif seperti penulis buku dan novel di negara kita,” katanya yang ditemui dalam majlis sidang media Anugerah Telenovela di KLCC di sini, hari ini.

Anugerah Telenovela dianjurkan sempena Festival Industri Kreatif akan disiarkan secara langsung menerusi live streaming ‬Viral TV Station bermula pukul 8 malam.

Antara kategori yang bakal dipertandingkan adalah Novel Popular, Telenovela Popular, Ratu Telenovela Serba Dinamik, Novel Adaptasi Terbaik, Pelakon Lelaki Sensasi, Pelakon Wanita Sensasi, Novelis Best Seller, Anugerah Khas, Primadona Telenovela, Seniwati Lagenda dan Tokoh Penghibur Sepanjang Zaman. - UTUSAN ONLINE.