Pernah merasa susah payah mencari sumber kewangan untuk menyuap nasi ke mulut setiap ahli keluarganya, aktor yang popular menerusi filem trilogi Sembilu itu bersyukur hidupnya kini kembali stabil.

Mengimbas kembali kisah hampir 20 tahun lalu, dia akui pengalaman tersebut pernah mematahkan semangatnya untuk terus berlakon yang akhirnya mendorong Khairil membuat keputusan bertukar kerjaya.

Desakan hidup yang serba serbi memerlukan duit, Khairil kemudian menerima tawaran untuk bekerja di sebuah resort di Janda Baik, Pahang selaku pengarah projek.

Walaupun hakikatnya jiwa memberontak kerana cinta mendalam terhadap dunia lakonan, dia akur kerana buat masa itu, itu adalah rezeki untuk terus menyara ahli keluarga.

“Ketika menguruskan resort peribadi milik seorang VIP itu, saya lakukan kerja seperti yang diamanahkan walaupun pemikiran dan hati saya masih lagi terhadap dunia seni yang merundum teruk.

“Setiap hari tanpa putus saya berdoa agar diberikan peluang untuk meneruskan berkarya dalam bidang seni menerusi bakat yang telah dianugerahkan. Terlalu minat terhadap lapangan tersebut sehingga rindu akan suasana penggambaran yang pernah dilalui sebelum itu,” ceritanya yang baru-baru tercalon dalam anugerah Tribute P. Ramlee.

Dua tahun menggalas tugas tersebut, Khairil begitu bersyukur kerjaya baharunya itu berjalan lancar tanpa menghadapi sebarang kesulitan, sekali gus mata pencariannya terjamin.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, kemahuannya dimakbulkan Allah apabila pemilik dan penerbit Skop Production, Datuk Yusof Haslam menghubungi dan menawarkan peluang berlakon dalam filem Pasrah yang dibintangi Erra Fazira dan Norman Hakim.

“Pada mulanya saya agak ragu-ragu menerima tawaran itu walaupun hati membuak-buak kegembiraan. Ini disebabkan memikirkan semula keadaan ekonomi negara yang masih belum pulih sepenuhnya.

“Tetapi, kata-kata semangat serta keyakinan yang diberikan oleh Datuk Yusof benar-benar menghilangkan segala kegusaran untuk saya melepaskan kerja di Janda Baik yang pada tahap itu berada dalam keadaan yang sangat selesa.

“Oleh yang demikian, saya tekad menerima tawaran itu tetapi masih mengekalkan kerja lama sebagai langkah berhati-hati. Maksudnya, berlakon separuh masa, bukan sepenuhnya,” ujar Khairil menceritakan sejarah pembabitan semulanya dalam bidang seni.

Sejurus tamat filem Pasrah, Khairil ditawarkan lagi membintangi filem-filem seterusnya terbitan Skop Production. Pada masa yang sama, setelah kemunculan semula menerusi filem Pasrah, dia turut dihujani tawaran berlakon drama tempatan.

Atas alasan itu, Khairil bertambah yakin untuk meninggalkan kerja dalam bidang perhotelan dan fokus semula membina nama sebagai seorang pelakon.

Kini, selepas 30 tahun aktif menghiasi kaca televisyen dan layar perak, Khairil puas mencapai cita-citanya.

Trofi sekadar bonus

Bercerita mengenai pencapaiannya, kehebatan Khairil menjayakan watak yang digalas sama ada sebagai antagonis mahupun protagonis tidak perlu dipersoalkan.

Rata-rata, penonton pasti bersetuju mengatakan keberkesanan lakonan yang dipersembahkan, apatah lagi ketika membawakan watak hitam. Paling diingati, peranannya memegang watak dalam filem Sembilu dan Sembilu 2 serta beberapa filem dan drama lain.

Menerusi watak baik, tidak juga dinafikan betapa efisien dan profesional dia menjayakannya walaupun lebih menyerlah selaku ‘orang jahat’.

Pun begitu, lebih 30 tahun berlakon, Khairil sebenarnya tidak pernah memenangi sebarang trofi atau anugerah yang mengiktiraf kejayaannya dalam bidang lakonan.

“Saya pernah beberapa kali dicalonkan dalam pelbagai majlis anugerah tempatan. Sayangnya, belum ada rezeki lagi untuk menggenggam sebarang trofi. Bagaimanapun, saya akur dengan nasib. Ia adalah percaturan Allah dalam menentukan perjalanan hamba-Nya. Kalau bukan hari ini, mungkin esok lusa.

“Namun, saya tetap tidak pernah putus asa untuk memberi yang terbaik. Tanpa memenangi sebarang trofi, tiada tekanan diletakkan terhadap saya tetapi bukan lesen untuk berlakon sambil lewa,” jelasnya.

Mengenai kehidupan peribadinya, Khairil dikurniakan tiga orang cahaya mata, Iysha Nur Ain Aman, 18; Iyda Nur Fahima Aman, 15, dan Khairil Iydid Aman, 13, hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Nik Hazmaiza Nik Mohammad Din, 42.

Ketika tidak sibuk dengan sebarang penggambaran, Khairil yang dilihat masih cergas meluangkan masa bersama barisan artis lain bermain bola sepak mewakili kelab selebriti.

“Alhamdulillah, kesihatan saya berada pada tahap sangat baik tanpa penyakit serius. Pada usia sekarang, saya boleh lagi berlari mengejar bola. Mungkin itu yang membuatkan saya sentiasa segar,” tambahnya mengakhiri perbualan.