Ujar Andy atau nama sebenarnya Megat Effendy Zakaria, tiket boleh dibeli melalui pra jualan dengan harga RM45 menerusi aplikasi TicketApps sehingga 20 Ogos dan harga RM50 boleh didapati di pintu masuk Panggung Asia pada malam showcase tersebut berlangsung.

"Flop Poppy ditubuhkan sejak 1989 dan ia merupakan band lokal yang masih relevan sehingga ke saat ini dengan lagu yang cukup indah serta melodi yang mencangkuk jiwa setiap individu yang mendengar.

"Sekali gus, ia menjadikan band ini terus diingati dan begitu dekat dengan para peminat," ujar Andy dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara tarikan yang kekal dalam Flop Poppy adalah peminat sukar melupakan alunan suara husky Andy yang diibaratkan seperti 'menelan kaset' ekoran nyanyian secara langsungnya tidak berubah dan ada kalanya lebih baik daripada sesi rakaman yang telah dilakukan.

Selain itu, ketukan drum yang tidak tercapai akal oleh pemain drum terbaik Malaysia, Bakri dan pemain gitar hero Malaysia, Mijie pasti mampu membuatkan peminat terus terbuai.

Diadun pula dengan petikan gitar oleh Megat dan juga iringan bass oleh Wandi, mereka mengisi dan memenuhi ruang lagu dalam memberikan 'rasa' yang terbaik serta cukup indah.

"Siapa sahaja yang tidak menggunakan lagu Cinta sebagai lagu tema percintaan mereka? Begitu juga dengan lagu Masih, Rest of My Life serta Aku Dan Kamu.

Kesemuanya pernah menjadi lagu yang mampu mencetuskan suasana romantik.

"Itulah keunikan dan kekuatan lagu-lagu Flop Poppy. Walaupun ia tidak leleh namun rentak dan bait-baitnya yang menusuk terus ke jiwa begitu ikhlas sekali di saat mendengarnya," katanya.

Bagi pasangan yang dahulunya berbahagia dan membesar dengan lagu-lagu Flop Poppy, inilah masanya untuk mengenang kembali saat indah waktu awal percintaan dahulu.

"Sehubungan itu, Flop Poppy berbesar hati dan mengajak orang ramai untuk raikan cinta, kasih sayang serta kebahagian pada malam 1 September nanti bermula pukul 8 malam hingga 12 tengah malam di Panggung Asia, Setor Gombak," katanya. - UTUSAN ONLINE