Apa tidaknya, ketangkasan menunggang kuda telah membuat dirinya dikenali dalam kalangan unit berkenaan.

Pengalaman sepanjang 25 tahun bertugas dalam unit itu disifatkan begitu istimewa buat Zasali kerana beliau bukan hanya perlu bijak dalam pengurusan manusia malah perlu menimba pengetahuan berkaitan bagi menguruskan haiwan berkenaan.

Berkongsi mengenai pembabitannya, Zasali berkata, beliau mula menyertai PDRM pada 1986 dan mendapat pendedahan awal dalam bidang kepolisan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Berbekalkan minat serta keinginannya untuk menjadi anggota pasukan seragam, Zasali nekad meninggalkan tugasnya sebagai kelindan lori bagi membantu keluarganya.

“Sewaktu itu nak cari kerja susah, kalau dapat pun gajinya tak seberapa, jadi saya nekad mengisi borang untuk menyertai pasukan ini. Selepas disahkan dalam jawatan, saya mula-mula ditempatkan di Cawangan Polis Pengiring di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

“Selama enam tahun di situ, saya ditugaskan mengawal keselamatan kawasan istana negara dan bangunan Parlimen. Selain itu, saya turut bertugas mengiringi pergerakan serta mengawal pesalah jenayah dari lokap ke mahkamah,” ujarnya yang menyifatkan pengalaman berkhidmat di Cawangan Polis Pengiring sangat berharga.

Tambah Zasali, pada 1992 dia ditukarkan ke Cawangan Unit Berkuda dan di situlah bermulalah episod baharu dalam kerjayanya apabila itulah kali pertama dia mendampingi haiwan tersebut.

Ujar Zasali, bagi memahirkan diri dalam selok-belok mengendalikan kuda, dia telah mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih berpengalaman PDRM.

“Saya mengambil masa selama enam bulan untuk mahir menunggang kuda dan dalam tempoh itu banyak peristiwa yang tidak dapat dilupakan.

“Sejak itu, minat saya dalam Unit Berkuda nyata tidak dapat dibendung lagi apabila saya mula aktif dalam acara equestrian show jumping,” kata anak kelahiran Kluang, Johor ini.

Lebih membanggakan, minat yang kemudiannya dijelmakan menjadi kemahiran itu turut membuahkan hasil apabila Zasali dipilih mewakili PDRM dalam pelbagai kejohanan sukan berkuda pada peringkat antarabangsa seperti Sukan Anggota Polis dan Bomba Sedunia pada tahun 1997.

“Saya pada mulanya takut kerana tak pandai tunggang kuda tapi alah bisa tegal biasa... sekarang semuanya dah terbalik,” jelasnya.

Ditanya mengenai pengalaman beliau sepanjang perkhidmatannya dalam unit berkenaan, Zasali memaklumkan pernah mengalami kecederaan patah tulang rusuk ketika melakukan latihan dalam acara equestrian edurance pada 2014.

“Ketika itu, saya sedang menjalani latihan bagi menguji kekuatan dan keserasian kuda saya, tiba-tiba kaki kuda tersebut tersangkut dan menyebabkan saya terjatuh sehingga menyebabkan patah tiga tulang rusuk.

“Namun semua itu langsung tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkhidmat dalam pasukan ini,” kata Zasali yang mendapat sokongan penuh daripada isterinya, Nory Alias, 46.

Sehubungan itu, sebagai seorang anggota polis berpengalaman, sudah pasti Zasali mengalu-alukan pembabitan generasi muda yang berminat terlibat dalam bidang kepolisan terutama Unit Berkuda tetapi nasihatnya mereka harus bersungguh-sungguh kerana bidang tersebut memerlukan semangat jati diri tinggi selain disiplin dan komitmen tanpa belah bahagi.

“Tugas polis berkuda ini membabitkan manusia dan haiwan, jadi seseorang itu perlu memahami situasi kerja sebenar dan mereka harus bersedia menghadapi segala kemungkinan ketika menjalankan tugas,” katanya.