Malah pembabitan dan pengorbanan wanita dalam revolusi, pertempuran dan peperangan sudah tercatat dalam sejarah ketenteraan dunia sudah tercatat sebelum ini.

Ramai wanita di seluruh dunia memilih bidang ketenteraan sebagai bidang profesion termasuk negara kita dengan penglibatan mereka yang bermula pada awal tahun 1964.

Idea penyertaan wanita dalam dunia ketenteraan telah dicetuskan oleh Tan Sri Ibu Zain, yang merupakan seorang Ahli Parlimen dan aktivis politik ketika itu.

Leftenan Komander Nor Hasram Bt. Mohd. Muharami yang berkhidmat sebagai pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) antara tiga pegawai wanita daripada 215 anggota pasukan Malbatt 850-5 yang menyertai misi pengaman ke Lebanon.

Pasukan tersebut telah berlepas bagi menggantikan Malbatt 850-4 yang menamatkan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon (UNIFIL) selepas berkhidmat selama setahun di sana.

Dalam temubual eksklusif itu, wanita berusia 43 tahun itu mengakui penyertaan misi pengaman itu merupakan impian selama ini sejak menyertai dunia ketenteraan dan bangga dapat meningkatkan martabat wanita ke peringkat lebih tinggi terutama dalam misi pengaman.

“Siapa tidak sedih meninggalkan keluarga namun ini adalah impian saya sejak menyertai tentera dan dalam masa sama, saya terharu kerana dipilih menyertai misi pengaman,” katanya yang ditugaskan mengetuai kumpulan tentera wanita di bawah pasukan Batalion Malaysia 850-2 (Malbatt 850-5),” ujarnya.

Beliau berkata, faktor jantina tidak memberi halangan untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan anggota kaum lelaki ketika menjalani tugasan sepanjang menjalankan tugas di perantauan. Katanya lagi, tugas tentera wanita dan lelaki tiada perbezaan apabila berada di perantauan, malah operasi bekerja juga sama iaitu memikul tanggungjawab bagi melaksanakan misi dan menjulang nama baik negara.

Malah, amanah dan peranan yang diberikan kepada pegawai dan anggota wanita itu juga berat dan memerlukan komitmen tinggi untuk mereka menjayakannya kerana ia turut membabitkan imej dan nama baik negara, katanya.