Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata, Virtsim telah diguna pakai sejak dua bulan lalu oleh para anggota terutama kor infantri yang akan ke luar negara seperti menyertai misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pasukan keselamatan kita merupakan yang ketiga di dunia menggunakan sistem Virtsim selain Amerika Syarikat (AS) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Latihan di alam maya ini menggantikan amalan latihan secara konvensional kepada latihan berteras teknologi realiti maya bagi membantu anggota tentera merasai keadaan pertempuran sebenar tanpa melaluinya secara fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Virtsim di Pusat Simulasi Virtual Kem Syed Sirajuddin, Gemas baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Sri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md. Delin; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar serta Pengarah Pusat Olah Perang (POP) Tentera Darat, Kolonel Abdul Razak Hussain.

Zulkiple berkata, penggunaan sistem tersebut secara tidak langsung dapat mengurangkan kos latihan ketenteraan kerana tidak menggunakan peluru hidup serta bahan letupan.

Setakat ini katanya, Virtsim hanya melibatkan persenjataan kecil seperti pistol dan senapang, namun boleh dinaik taraf untuk memasukkan elemen letupan pada masa akan datang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, latihan tersebut menggunakan sistem teknologi yang bertindak mencipta rupa bentuk badan manusia secara maya seiring pergerakan semasa alam nyata.

Secara tidak langsung katanya, latihan berkenaan mampu meningkatkan tahap kemahiran taktikal, kebolehsuaian terhadap suasana pertempuran, sekali gus mencapai objektif latihan yang ditetapkan.

Latihan Virtsim dilaksanakan di dalam ruang arena bersaiz gelanggang bola keranjang dan boleh diselaraskan mengikut senario pertempuran yang ditetapkan menggunakan kecerdasan buatan sebagai teras pembinaan senario.

Anggota yang menjalani latihan berkenaan akan memakai pakaian sistem pengesanan khas yang dilengkapi ‘head mounted display’ (HMD) agar mereka boleh merasai sepenuhnya persekitaran latihan realiti maya simulasi 3D.

Virtsim juga diselaraskan mengikut senario pertempuran dengan memuat naik program daripada sistem komputer sebelum direkodkan dari semua sudut latihan untuk dikaji semula.

Dilengkapi dengan 48 senario pertempuran antaranya padang pasir dan lapangan terbang, sistem ini bakal dibangunkan dengan senario di kawasan paya dan sungai tidak lama lagi.

Teknologi itu dicipta oleh syarikat Motion Reality Inc. dari Amerika Syarikat dan diperkenal kepada Tentera Darat pada 2015.

Latihan dilaksanakan mengikut sesi yang dapat menampung sehingga 12 anggota untuk satu senario pertempuran.

POP Tentera Darat telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan Virtsim dan ditempatkan di Pusat Simulasi Visual yang telah siap pembinaannya Januari lalu. - Gambar ASWAD YAHYA