Itu misi penting Pasukan F, pasukan elit Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditubuhkan pada Mac 1971 bagi menumpaskan Parti Komunis Malaya (PKM) dan Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku). Pasukan itu diasaskan dan diketuai oleh Superintenden Leong Chee Woh dengan keanggotaan awalnya tidak sampai 15 orang. 

Kebanyakan mereka terdiri daripada beberapa pegawai dan detektif Cawangan Khas serta bekas-bekas pengganas komunis terpilih yang diberi peluang berkhidmat dengan jabatan itu.

Mereka inilah yang bertungkus lumus menyiasat di lapangan, mengumpul risikan dan maklumat yang kemudiannya diserahkan kepada pasukan keselamatan lain untuk tindakan selanjutnya.

Namun pengganas komunis melakukan pelbagai strategi untuk menunjukkan kesungguhan mereka menentang kerajaan Malaysia.

Selain mengarahkan skuad pembunuh untuk menembak mati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim pada 7 Jun 1974 serta Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Choo Kong pada 13 November 1975, mereka telah melancarkan beberapa siri serangan ganas.

Antaranya mengebom Tugu Negara pada 26 Ogos 1975, menyerang markas Briged Tengah Pasukan Polis Hutan (PPH) di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur pada 3 September 1975 dan memacak bendera komunis yang dipasang jerangkap samar di beberapa lokasi sekitar ibu negara termasuk di tepi bangunan Parlimen.

Berbisa

Bagi menangani serangan bertalu-talu daripada pasukan pengganas dan pertubuhan bawah tanah komunis, Pasukan F telah diperku­atkan dari semasa ke semasa dengan mengambil anggota-anggota terlatih daripada 69 Komando dan PPH bagi memantapkan gerakan-gerakan operasi sulit ke atas musuh.

Dalam melaksanakan operasi-operasi penting tersebut, ada anggota Pasukan F yang terpaksa menyamar antaranya sebagai penoreh getah, pemburu dan pekerja Jabatan Ukur untuk melakukan pemerhatian serta mengesan pergerakan musuh di kawasan tertentu selama berbulan-bulan tanpa disyaki musuh atau masyarakat sekeliling.

Hasil daripada peranan yang dimainkan pasukan elit kecil tetapi ‘berbisa’ itu, seramai 48 orang pengganas komunis berjaya dibunuh, 171 ditangkap di hutan dan 1,432 anggota perge­rakan bawah tanah yang aktif di kawasan bandar dan luar bandar dicekup.

Kejayaan itu juga membawa kepada pemeteraian Perjanjian Haadyai pada 2 Disember 1989.

Namun operasi serta kejayaan Pasukan F tidak pernah didedahkan dalam mana-mana penerbitan dan nama pasukan itu tidak diketahui umum seperti 69 Komando walaupun menghasilkan pencapaian yang tiada tandingan.

Ini kerana segala tugasan dan operasi yang dijalankan sentiasa dirahsiakan sejak Pasukan F ditubuhkan sehingga dibubarkan pada 1 Mei 1995 dengan keanggotaan keseluruhan (bermula 1971 hingga 1995) seramai 164 orang.

Selepas lebih 45 tahun kewujudan Pasukan F dirahsiakan, Cawangan Khas PDRM kini bersedia mendedahkan kepada umum dan membentangkan kisah sejarah pasukan terunggul itu dalam melaksanakan tugas mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara daripada ancaman komunis.

Ini kerana fail-fail operasi pasukan itu yang bertaraf ‘rahsia besar’ telah dibatalkan (declassified).