Sempena kejayaan itu mereka menerima sayap penerbangan daripada Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang dalam satu majlis yang diadakan di KTU.

Berucap pada majlis itu, Affendi berkata, KTU Kepala Batas akan terus kekal menjadi pusat untuk latihan penerbangan dan kejuruteraan manakala pangkalan udara yang baharu di Sendayan, Negeri Sembilan bakal dijadikan sebagai pusat latihan asas dan lanjutan anggota TUDM.

“Ini kerana ruang udara dan kawasan latihan penerbangan di KTU lebih besar dan sesuai berbanding di PU Sendayan, selain sudah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan,” katanya.

Menurutnya, antara latihan yang bakal dikendalikan di PU Sendayan termasuklah latihan logistik, urus tadbir, polis tentera udara (Provos) dan kepemimpinan.

Sementara itu, penerima Piala Panglima Tentera Udara (terbaik keseluruhan sayap kaku), Leftenan Abdul Samad Daud berkata, langkahnya dalam mencapai impian bergelar juruterbang diatur secara tersusun dengan terlebih dulu menyambung pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebelum mengikuti Kursus Ilmu Penerbangan Asas di Pusat Latihan Terbang Satu di sini bermula 22 Jun 2015.

“Saya tak nafikan, pada mulanya memang takut untuk mengendalikan pesawat latihan, Pilatus PC-7 MK II. Namun bagi mengatasinya, saya banyak membuat latihan dengan menggunakan simulator.

“Sememangnya latihan di sini benar-benar menguji ketahanan diri bagi membentuk kami menjadi juruterbang yang baik.

“Selain perlu membanyakkan latihan, kami juga perlu memiliki ketahanan mental dan fizikal yang sangat kuat,” katanya ketika ditemui Mega Wira selepas menerima sayap penerbangan tersebut.

Dua lagi rakannya turut menerima penghargaan iaitu Leftenan Aslam Hariri Abdul Rashid yang menerima Piala Nuri (terbaik penerbangan helikopter) serta Leftenan Izzatikhmal Dzulhelmi Dzulkflee yang menerima Piala Pang­lima Pendidikan dan Latihan Udara (terbaik akademik).

Menurut Abdul Samad, minat beliau untuk menjadi juruterbang muncul selepas menyaksikan kehebatan persembahan aerobatik pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2013 (LIMA ‘13).

Sejak itu beliau yang berasal dari Chuping, Perlis, menanam impian untuk menjadi juruterbang dan ternyata ia berbaloi.