Dengan tema ‘Kuasa Udara, Tonggak Kedaulatan Negara’, sambutan dimulakan dengan satu istiadat perbarisan yang menjadi tradisi.

Perbarisan yang berkonsepkan tempur berjalan lalu dan masa cepat telah melibatkan lapan cawangan TUDM antaranya Pasukan Khas Udara (Paskau), pembantu pertahanan (provos), wanita serta gabungan dari pelbagai ketukangan dalam TUDM.

Komposisi perbarisan adalah sebanyak 27 pegawai dan 609 anggota lain-lain pangkat (LLP) yang diketuai Ketua Perbarisan, Kolonel Wan Azwari Wan Ali, manakala Penolong Ketua Perbarisan adalah Leftenan Kolonel Hazmi Zainol.

Dalam perbarisan tersebut, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang telah mengambil tabik hormat serta memeriksa perbarisan sebelum menyampaikan ucapan beliau sempena sambutan tersebut.

Perbarisan pada kali ini juga turut disertai dengan terbang lintas hormat daripada pesawat helikopter TUDM iaitu dua buah pesawat Nuri dan sebuah pesawat EC725 yang membawa tiga bendera mewakili Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TUDM semasa lintas hormat pertama.

Pancaragam pengiring sepanjang perbarisan ini adalah daripada gabungan Pancaragam Pusat TUDM dan Pancaragam Kolej Tentera Udara (KTU) seramai 80 orang yang dipimpin oleh Mejar Mohd. Salleh Wahab.

Perbarisan ini juga turut diserikan dengan acara persembahan yang ditampilkan oleh tim persembahan yang terdiri daripada 10 anggota Paskau yang membuat demonstrasi menyelamatkan tebusan, 30 anggota Pancaragan TUDM yang membuat persembahan nyanyian dan drumline serta 53 anggota dan 11 jurulatih Tim Gimnastik dari Akademi Tentera Udara (ATU) Ipoh.

Turut berlangsung semasa perbarisan itu adalah acara penyematan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) kepada 17 warga TUDM dan penyampaian Sijil Kepujian PTU kepada seramai sembilan anggota LLP.

Turut hadir adalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad dan Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Abd. Mutalib Ab. Wahab.