Namun bagi seorang bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD), Ahmad Yusuf Ahmad Azani, 18, impiannya untuk ke akademi itu suatu ketika dahulu kini tidak lagi menjadi sebuah mimpi kerana dia merupakan 
antara rakyat Malaysia yang paling berkelayakan.

“Sukar untuk menggambarkan rasa teruja ini, namun peluang yang diterima akan saya manfaatkan sebaik mungkin. Lagipun, saya memang bercita-cita memburu ilmu ketenteraan di negara Uncle Sam sejak dari kecil.

“Kehebatan kisah datuk sewaktu bertempur dengan penggganas komunis pula benar-benar telah mencetus minat saya untuk turut sama melangkah dalam dunia ketenteraan,” katanya ketika Mega Wira baru-baru ini.

Menurut Yusuf, dia akan berada selama empat tahun di Annapolis, Maryland dan sepanjang tempoh tersebut, dia mungkin akan terpisah seketika dengan dunia luar.

“Saya dimaklumkan telefon bimbit akan disimpan sepanjang tempoh latihan di sana namun perkara itu tidak akan menjadi masalah besar bagi saya kerana selama di MTD, kami telah dilatih untuk bersedia dengan situasi berkenaan.

“Yang penting, ilmu yang diperoleh membolehkan saya berkongsi manfaatnya dengan seluruh angkatan tentera di Malaysia sebaik sahaja saya menamatkan pengajian,” 
ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai tempoh sepanjang dia berada di USNA, Yusuf menjelaskan, untuk tahun pertama sahaja, semua pelajar baharu akan dikerahkan dengan dunia orientasi ketenteraan yang serba mencabar.

“Masuk tahun kedua barulah kami diberi peluang untuk memilih subjek akademik dan saya bercita-cita mahu mendalami ilmu dalam bidang operasi siber.

“Hal ini kerana terlalu banyak pencerobohan berlaku di alam siber dan agak sukar untuk menjejakinya sekali gus membuka peluang kepada pengganas untuk menggodam sistem pertahanan negara,” katanya.

Ditanya mengenai kenangan manis sewaktu bergelar pelajar di MTD sehingga membolehkan dia mencapai tahap yang tertinggi ketika ini sebagai seorang anak muda, Yusuf mengakui, dia seorang yang amat suka berdebat secara ilmiah.

“Selain dilantik menjadi kapten pasukan bahas berbahasa Inggeris, saya pernah dianugerahkan Anugerah 
Menteri Pertahanan 2016 sekali gus turut diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Pegawai Memerintah Putera kepada semua penuntut MTD.

“Berkat usaha dan sokongan ibu bapa serta sabahat handai, saya diberi peluang yang cukup bermakna ini namun dalam masa sama, saya turut berasa sedih kerana ramai rakan seperjuangan tidak dapat mara bersama,” katanya.

Mengenang kembali sesi temu duga yang pernah dilaluinya, debaran itu masih terasa namun hanya jutaan syukur mampu diungkapkan setelah lulus dengan markah yang cukup memberangsangkan.

“Semua individu termasuk pelajar di AS diwajibkan untuk menduduki ujian Scholastic Aptitude Test (SAT) sebelum melayakkan diri untuk dimasukkan ke kolej.

“Selain itu, bagi Test of English as a Foreign Knowledge (TOEFL) pula, saya mendapat markah 110 daripada 120 dan jumlah tersebut amat mengejut para penilai daripada AS sendiri,” katanya.

Dia yang beranggapan bahawa peluang hanya datang sekali dan tidak harus disia-siakan membuktikan bahawa setiap latihan, pengalaman dan kebijaksanaan amat membantu mana-mana individu untuk meneruskan kelangsungan dalam kehidupan masing-masing.

“Hari ini adalah hari saya diberi peluang untuk menuntut ilmu di USNA. Oleh itu, saya akan pastikan kepulangan saya nanti akan membantu Malaysia memiliki sistem pertahanan yang lebih baik,” katanya.

Menurutnya, beliau bertekad mahu menjadi seorang anggota tentera yang penuh komited untuk negara, agama dan bangsa.