Pesawat berukuran 12.7 meter itu telah pun berkunjung ke Thailand dan Vietnam terlebih dahulu sebelum tiba di Malaysia dan meneruskan penerbangan ke Filipina sebelum berakhir di Korea Selatan.

Pesawat C295 sebenarnya merupakan lanjutan reka bentuk pesawat C235 sedia ada.

Hal ini kerana kedua-dua pesawat itu bukan sahaja memiliki ciri-ciri yang hampir sama malah gaya pemanduannya juga tidak jauh berbeza.

Oleh kerana C235 yang dipasarkan sejak tahun 1983 mendapat permintaan yang tinggi, Airbus mengambil langkah untuk menambah daya maju dan potensi kepada pesawat baharu yang dikenali dengan nama C295 itu.

Menurut Ketua Risikan, Tinjauan dan Pemantauan (ISR), Pemasaran Pesawat Taktikal Airbus, Fernando Ciria, pesawat tersebut merupakan pesawat baharu milik Tentera Udara Brazil dan siri lawatan tersebut termasuk dalam proses pandu uji.

“C295 amat sesuai untuk digunakan dalam pelbagai misi serta operasi mencari dan menyelamat (SAR) kerana daya ketahanan serta kecanggihan yang direka bina untuk terbang di ruang udara.

“Sebagai contoh, pesawat C295 boleh melakukan penerbangan dalam tempoh 10 jam tanpa henti dan juga berlegar-legar di kawasan yang mencabar seperti di atas permukaan air dan kawasan hutan untuk tujuan menyelamat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas memperkenalkan pesawat pengawasan canggih Airbus C295 itu di Subang.

Menurut Ciria, siri jelajah di Asia itu bukan sahaja mahu memperkenalkan kemampuan yang dimiliki pesawat pengawasan terbabit malah turut berkongsi kecanggihan sistem yang direka khas.

Katanya, pesawat C295 itu sudah digunakan di 13 negara kerana keupayaannya untuk melaksanakan misi-misi sukar yang diakui pengguna sedia ada. Perkara itu sedikit sebanyak menambah minat pembeli.

“Pesawat pengawasan ini dilengkapi dengan ciri-ciri terbaharu seperti penambahan kamera pengesan serta mempunyai rekaan ruang cermin pandangan sisi yang unik.

“Ruang cermin pandangan sisi pesawat itu direka dengan bentuk mata burung.

“Bentuk rekaan ini membolehkan anggota yang berada di dalamnya melihat ke arah luar dengan sudut sebanyak 180 darjah,” katanya.

Selain itu, C295 bukan sahaja mempunyai kabin terpanjang dalam kategori kelompok pesawat jenis itu malah turut boleh menampung beban sehingga sembilan tan.

“Boleh dikatakan jumlah berat itu sama keupayaannya untuk menampung berat 71 individu yang duduk di dalam pesawat tersebut,” katanya.