Malah ia turut diperluas dengan melibatkan pelbagai bidang dan kepakaran termasuk inovasi dalam perkhidmatan tersebut.

Sehubungan itu, sebagai galakan kepada pegawai dan anggota untuk menjadi lebih kreatif, TUDM telah menganjurkan Anugerah Inovasi TUDM dalam usaha mengetengahkan idea serta inovasi ciptaan terbaharu daripada pelbagai cawangan TUDM.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang berkata, penekanan tersebut perlu diterapkan dalam kalangan anggota sebagai sebahagian langkah transformasi di samping mewujudkan budaya kerja yang lebih efisien.

“Setiap pegawai dan anggota perlu faham mengapa inovasi itu perlu diterapkan.Di negara maju ia telah menjadi sebahagian amalan mereka untuk menghasilkan sesuatu yang membawa kebaikan.

“Oleh itu, ia akan sentiasa diterapkan dan diberi penekanan dalam menentukan arah tuju TUDM bagi jangka masa panjang,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Inovasi TUDM di Pangkalan Udara Subang baru-baru ini.

Sebanyak lima kategori dipertanding dalam anugerah itu antaranya kategori Pengurusan Projek; Pengurusan Sumber Manusia; Pengurusan Kewangan; Pengurusan Pelanggan serta Pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Dalam majlis itu juga, Affendi turut menyampaikan sijil Anugerah Inovasi TUDM kepada pemenang-pemenang kategori.

Setiap pemenang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500, sijil dan piala.

Sementara itu, Affendi turut berharap produk inovasi yang dihasilkan oleh peserta pertandingan itu boleh diketengah dan digunakan pada masa hadapan.

“Kita telah menetapkan standard tertentu dalam pertandingan untuk mendapat kualiti terbaik demi mencapai sasaran dalam pertandingan peringkat tertinggi,” ujarnya.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Green Endorsement kepada empat pegawai yang berjaya mengawal pesawat ketika kecemasan dan Anugerah Terbang Selamat kepada 11 pegawai yang berjaya mengendalikan pesawat tanpa kemalangan yang berpunca daripada kesilapan juruterbang.

Majlis itu turut menyaksikan pelantikan Pegawai Waran TUDM kelapan kepada Pegawai Waran (U) I Mohamad Lockman Abdul Jabar menggantikan Pegawai Waran (U) I Tarmizi Jaafar yang akan bersara wajib.

Mohamad Lockman yang sebelum ini memegang jawatan Pegawai Waran Istiadat TUDM diganti oleh Pegawai Waran (U) I Ahmad Maulana Ab. Ghafar berkuat kuasa7 April lepas.