Bagaimanapun, ketika menginjak ke arus pemodenan, perkhidmatan bomba semakin dilupakan sehinggalah berlaku kebakaran besar di kota London pada tahun 1666 yang melumpuhkan bandar tersebut.

Insiden tersebut menyedarkan (membuka mata) betapa pentingnya pasukan bomba dalam situasi yang tidak disangka seperti itu.

Di negara ini pula, pasukan bomba telah wujud sejak zaman penjajahan British lagi namun keadaanya tidak banyak berkembang walaupun selepas negara mencapai kemerdekaan sehinggalah kerajaan mengambil keputusan untuk mengambil alih pasukan bomba daripada pentadbiran kerajaan negeri dan kerajaan tempatan kepada kerajaan Persekutuan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, sejak pada awal penubuhan, jabatan tersebut telah melalui transformasi dari segi kualiti perkhidmatan dan sentiasa berada pada tahap yang baik seiring dengan pembangunan negara yang semakin pesat dengan penduduk yang bertambah saban tahun.

Ujarnya, cabaran kepesatan pembangunan masa kini mengkehendaki pasukan bomba bersiap siaga dalam apa jua situasi dan memastikan tahap tindak balas (respons) kepada panggilan kecemasan berada pada tahap yang baik.

“Dalam era teknologi kini, cabaran JBPM semakin besar kerana negara kita yang dahulunya sebuah negara pertanian telah beralih kepada negara industri. Pembangunan di negara ini yang semakin pesat, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran dan bencana.

“Bagaimanapun, perkara itu tidak mematahkan semangat JBPM malah semakin agresif untuk memastikan bantuan tiba ke lokasi bencana dengan pantas seterusnya melakukan operasi penyelamatan yang mampu mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan jumlah kerugian dialami mangsa,” katanya.

Menurut Wan Mohd. Nor, pelbagai usaha telah dilakukan ke arah memantapkan JBPM kerana seperti sedia maklum, skop perkhidmatan pasukan bomba bukan sahaja tertumpu kepada memadam kebakaran dan membantu ketika bencana, malah diperlukan dalam kes khidmat khas kemanusiaan seperti bantuan mencari orang sesat, bantuan kemalangan serta bantuan menangkap haiwan berbisa yang semakin meningkat.

Jelasnya, perkara itu terbukti kerana dalam purata 100,000 panggilan kecemasan yang diterima setiap tahun, peratusan kecemasan membabitkan kebakaran dan penyelamatan adalah sama banyak.

Selaras itu, katanya, JBPM telah mewujudkan pelbagai unit pakar antaranya Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat), Unit Emergency Medical Rescue Service (EMRS) dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).

“Tidak dinafikan, kita turut berhadapan dengan kekangan sumber seperti peralatan dan jentera yang terhad, namun itu menjadi penghalang untuk lari daripada objektif utama pasukan bomba malah kami telah menggunakan peralatan sedia ada dengan optimum,” ujarnya.

Selain itu, bagi tujuan penambahbaikan perkhidmatan, Wan Mohd. Nor memaklumkan, terdapat kira-kira 30 buah balai bomba baharu akan dibuka di seluruh negara pada tahun ini dan tahun hadapan.

“Jumlah balai baharu itu adalah penambahan kepada 284 balai bomba sedia ada. Oleh itu, dengan peruntukan yang diberikan kerajaan, kita akan terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat,” katanya.

Tambah beliau, di sebalik komitmen JBPM dalam menyalurkan bantuan, kesedaran orang ramai mengenai kepentingan mencegah berlakunya kebakaran dan sebarang kejadian tidak diingini adalah lebih penting kerana secara tidak langsung boleh mencegah risiko kehilangan nyawa dan kerugian harta benda.

“Bagi mendidik masyarakat, kita juga sering melakukan pelbagai program dan aktiviti bersama orang awam supaya mereka mendapat pendedahan mengenai segala aspek keselamatan serta pencegahan awal.

“Ini kerana JBPM tidak boleh bertindak sendirian dan masyarakat harus bersama-sama JBPM dalam memastikan keadaan selamat seterusnya mengurangkan kadar kebakaran dan bencana,” katanya.