Menyedari ada pihak yang mula menyalahgunakan media sosial, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengambil langkah proaktif dengan melancarkan kempen Hindari Salah Guna Media Sosial yang bertujuan mengekang penyalahgunaan media sosial yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

Kempen itu akan dilaksanakan di semua pangkalan serta di kawasan kapal organisasi tersebut dan bagi memastikan kempen itu dapat mencapai sasaran, TLDM telah menyebarkan maklumat kempen di media sosial yang dikendalikan oleh TLDM antaranya menerusi laman Facebook, Twitter, Instagram dan di portal TLDM.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, kempen itu dilancarkan berikutan pihaknya bimbang dengan ketagihan masyarakat pada masa kini yang gemar menghabiskan banyak masa di media sosial tanpa menyedari impak negatif yang bakal diperoleh daripada sikap tersebut.

“Diakui telefon merupakan keperluan utama pada masa kini apabila ia bukan sahaja digunakan untuk membuat panggilan. Kini hanya menggunakan telefon kita mampu mendapatkan pelbagai maklumat dan dalam masa yang sama, ada yang suka mengambil jalan mudah dengan menyebarkan maklumat tanpa mendapatkan kesahihan.

“Teknologi yang ada pada hari ini boleh mengubah seseorang sehinggakan ada masyarakat mula ketagih dengan gajet dan leka dalam dunia tersebut.Itu antara cabaran sosial yang wujud apabila media sosial mula disalah guna yang akhirnya boleh mendatangkan pelbagai masalah lain,” katanya ketika ditemui Mega Wira di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelasnya, kempen tersebut dilancarkan apabila beliau melihat perubahan yang berlaku dalam masyarakat yang lebih berminat untuk bersama gajet daripada menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Itu cabaran alaf baharu yang TLDM hadapi dan ia sesuatu yang amat membimbangkan kerana apabila warga TLDM mula leka dengan gajet dikhuatiri ia boleh menjejaskan komitmen ketika bekerja.

“Lihat sahaja pada masa kini, ada yang lebih berminat untuk menggunakan telefon ketika mesyuarat diadakan dan akhirnya tidak mendapat maklumat yang cuba disampaikan dalam perjumpaan tersebut,” katanya.

Tambahnya, sekiranya budaya itu tidak dibendung ia boleh menimbulkan lebih banyak masalah dalam agensi keselamatan antaranya kebocoran maklumat yang seharusnya menjadi rahsia dalam sesebuah agensi.

“Untuk kempen ini saya memberi penumpuan kepada pelatih baharu kerana yakin golongan muda lebih cenderung kepada media sosial. Kempen ini dijalankan secara santai dan diyakini cara tersebut lebih mudah untuk diterima. Sekiranya mereka dipaksa untuk mengikuti arahan tersebut dengan cara yang agak tegas, kita bimbang ia akan memberi tekanan kepada mereka dan akhirnya membuat keputusan untuk mengingkari arahan tersebut,” katanya.

Ahmad Kamarulzaman menambah, pihaknya tidak berniat untuk menghalang warga TLDM menggunakan media sosial kerana ia merupakan salah satu medium komunikasi utama dalam kalangan “The Navy People”.

“Namun kita hanya mahu mereka menggunakan media sosial pada masa, tempat dan cara yang tepat. Contohnya apabila bekerja banyak rahsia yang perlu dijaga dan mereka seharusnya peka dengan keadaan tersebut. Hari ini golongan muda khususnya suka mengambil gambar dan meletakkan di laman sosial.

“Melalui kempen ini kita mendidik agar mereka tidak mengambil gambar di kawasan larangan di tempat kerja dan menyebarkan ke laman sosial. TLDM memandang serius isu tersebut kerana ia melibatkan soal amanah untuk menjaga sesebuah rahsia,” katanya.

Jelasnya lagi, sekiranya masih ada ‘orang dalam’ yang ingkar TLDM akan memberikan khidmat nasihat dan sekiranya ia berterusan mereka akan dikenakan tindakan yang sewajarnya.

“Saya juga mahu warga TLDM menjadi pengguna media sosial yang bijak antaranya meneliti maklumat yang diterima sebelum menyebarkan kepada pihak ketiga. Setiap orang perlu memainkan peranan dan peka dalam sesuatu perkara sebelum membuat keputusan untuk menyebarkannya.

“Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya mereka menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan akhirnya akan merugikan masa serta menyusahkan pelbagai pihak,” katanya lagi.

Tambahnya, penyalahgunaan media sosial juga boleh menyebabkan institusi kekeluargaan rapuh dan keharmonian dalam keluarga mula bermasalah apabila seseorang itu lebih mengutamakan gajet daripada keluarga.